MOTAC janji insiden hidang arak tak berulang

 

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) memberi jaminan insiden penghidangan arak dalam majlis makan malam rasmi kementerian itu tidak akan berulang.

Dalam kenyataannya hari ini, MOTAC menegaskan setiap program di bawah seliaan kementerian akan dilaksanakan mengikut garis panduan dan etika yang ditetapkan.

“MOTAC menerima teguran YAB Perdana Menteri berhubung penganjuran majlis makan malam yang tular baru-baru ini. Kementerian dengan penuh rasa tanggungjawab dan takzim amat mengesali sebarang kekeliruan atau salah faham yang menimbulkan ketidakselesaan dalam kalangan rakyat,” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, kementerian turut menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri atas nasihat, teguran membina dan sokongan berterusan terhadap usaha memperkasa industri pelancongan, seni dan budaya negara.

“Segala kesulitan yang timbul amat dikesali. MOTAC akan terus memperkukuh serta melaksanakan penambahbaikan berterusan dalam memenuhi tanggungjawab kepada rakyat dan negara,” ujar kenyataan tersebut.

Terdahulu, Bernama melaporkan Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi amaran keras kepada Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing serta kementerian itu supaya memastikan kesilapan menghidangkan arak dalam majlis rasmi kerajaan tidak berulang.

Beliau menegaskan penjelasan bahawa minuman keras hanya dihidangkan selepas acara rasmi tidak dapat diterima kerana dasar kerajaan dengan jelas melarang penghidangan arak dalam sebarang majlis rasmi.

BACA LAGI




Catat Ulasan

0 Ulasan