Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Akmal Saleh meminta Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming meletak jawatan kerana gagal memahami sensitiviti rakyat terhadap isu menghidang arak pada majlis rasmi kerajaan.
Menurut beliau, rakyat bukan sengaja membesar-besarkan isu tersebut.
"Tapi isu ini memang isu besar!! Kami tidak menghalang pun kamu nak mabuk, tapi perlu hormat pada undang-undang dan sensitiviti rakyat Malaysia.
"Selama ini kedai makan kamu jual arak, kami tidak ada halangan pun, tetapi bila gunakan agensi kerajaan dan program kerajaan yang dalam undang-undang dilarang menyediakan minuman keras dan kamu langgar perkara tersebut, itu yang rakyat marah!!
"Semudah itu, kalau tidak faham juga, kamu dengan Tiong (Datuk Seri Tiong King Sing) boleh letak jawatan sekalilah..
"Bebal tidak bertempat," katanya dalam hantaran Facebook semalam.
Terdahulu, Kor Ming menyeru semua pihak agar tidak membesar-besarkan isu hidangan arak pada Global Travel Meet 2025 baru-baru ini.
Katanya, isu itu tidak harus diperbesarkan apatah lagi mencari kesalahan yang boleh menimbulkan polemik kerana boleh menjejaskan imej negara, terutama menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).
0 Ulasan