Yayasan Terengganu (YT) mengumumkan penutupan Asrama Yayasan Terengganu Kemaman (AYTK) dan menggantikannya dengan pembukaan Sekolah Menengah Imtiaz (Swasta), berkuat kuasa serta-merta.
YT dalam satu kenyataan media semalam memaklumkan, keputusan itu dan pelaksanaan pembukaan Sekolah Menengah Imtiaz (Swasta) itu telah dipersetujui oleh Ahli Lembaga Pemegang-Pemegang Amanah Yayasan Terengganu.
Penstrukturan semula asrama itu adalah seiring dengan matlamat menyediakan kemudahan kepada penduduk luar bandar bagi menghantar anak-anak mereka ke sekolah menengah ketika jumlah sekolah menengah masih terhad.
"Keputusan ini dibuat bagi memenuhi keperluan pendidikan semasa, khususnya disebabkan jumlah permohonan kemasukan ke sekolah imtiaz yang mencecah lebih 5,000 permohonan setiap tahun," jelas kenyataan itu.
YT menjelaskan, penubuhan Sekolah Imtiaz Swasta ini adalah untuk menampung permintaan tinggi tersebut.
Yayasan itu turut memaklumkan bahawa semua asrama Yayasan Terengganu di daerah lain sebelum ini telah pun ditukar sepenuhnya kepada sekolah menengah imtiaz selaras dengan perkembangan sistem pendidikan negeri.
AYTK merupakan satu-satunya asrama YT yang masih beroperasi dalam bentuk asal.
Lokasi AYTK telah dikenal pasti sebagai lokasi paling sesuai untuk dinaik taraf kepada Sekolah Menengah Imtiaz Swasta.
Kawasan AYTK turut mempunyai tanah kosong seluas 10 ekar dengan potensi membolehkan pembinaan fasiliti baharu bagi menampung kapasiti antara 700 hingga 800 orang pelajar.
Selain itu, peruntukan khas kerajaan persekutuan bagi penyeliaan asrama luar bandar juga telah dihentikan, menjadikan penstrukturan semula ini satu langkah penting demi memastikan kelangsungan pembangunan pendidikan di Kemaman.
Berhubungan dengan itu, YT telah memberhentikan pengambilan pelajar baharu ke AYTK.
YT juga akan bekerjasama dengan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kemaman dan Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) untuk menjalankan penyesuaian penempatan baharu pelajar.
Penutupan AYTK akan dilaksanakan secara beransur-ansur bagi memastikan kebajikan pelajar sentiasa terpelihara.
Pelajar sedia ada akan dipindahkan secara berperingkat berdasarkan kekosongan asrama di sekolah-sekolah sekitar daerah Kemaman.
Pelajar yang masih belum memperoleh penempatan baharu dibenarkan untuk terus menetap di AYTK sehingga proses penempatan selesai.
Yayasan Terengganu kekal komited memastikan proses penstrukturan ini berjalan dengan lancar serta memberi manfaat jangka panjang kepada pembangunan pendidikan negeri melalui penubuhan Sekolah Menengah Imtiaz Swasta Kemaman.

0 Ulasan