Sebuah bengkel mengecat kereta musnah dan sebuah rumah bersebelahan mengalami kerosakan dalam kebakaran yang dipercayai berpunca daripada panahan petir di Kuala Langat semalam.
Kejadian yang berlaku pada kira-kira jam 5.10 petang itu menyebabkan kerosakan teruk melibatkan lapan kenderaan di dalam bengkel, selain barangan seperti cat dan peralatan bengkel namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Mohd. Akmalrizal Radzi berkata, kebakaran tersebut disedari oleh orang awam sebelum dimaklumkan kepada bomba dan polis.
"Pasukan bomba tiba di lokasi pada jam lebih kurang 5.20 petang. Hasil temu bual bersama bomba mendapati kebakaran dipercayai berpunca daripada panahan petir yang berlaku sekitar jam lebih kurang pukul 5 petang," katanya dalam kenyataan media semalam.
Beliau berkata, api berjaya dipadamkan kira-kira pukul 7.20 malam.
Menurut Mohd. Akmalrizal, pihak bomba masih meneruskan pemeriksaan bagi memastikan tiada sisa api yang masih menyala, dan kenyataan lanjut akan dimaklumkan sekiranya terdapat perkembangan baharu.

0 Ulasan