2 pelajar OKU jadi mangsa amang seksual di asrama

 

Polis sedang menyiasat dua kes berasingan melibatkan amang seksual dalam kalangan kanak-kanak, yang berlaku di sebuah asrama di Marang dan melibatkan mangsa yang merupakan orang kurang upaya (OKU).

Ketua Polis Daerah Marang, Superintendan Sofian Redzuan berkata, kedua-dua laporan polis itu diterima pada 7 Disember 2025.

Bagi laporan pertama, kejadian yang disiasat di bawah Seksyen 14(a) dan 14(d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 itu, melibatkan mangsa berusia 17 tahun (OKU ketidakupayaan pembelajaran) dan suspek berusia 16 tahun.

"Kejadian berlaku pada 17 November 2025, sekitar pukul 2 petang," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Dalam laporan kedua pula, mangsa berusia 13 tahun yang merupakan OKU Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD) dipercayai dipaksa melakukan perbuatan tidak senonoh oleh suspek berusia 16 tahun.

"Kejadian kedua berlaku pada 20 November 2025, kira-kira pukul 6 petang," jelasnya.

Kes kedua disiasat di bawah Seksyen 14(b) dan 14(d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Supt. Sofian menegaskan, siasatan ke atas kedua-dua kes sedang dijalankan.

"Kejadian ini dilihat sebagai suatu kes yang serius yang melibatkan moral dan perlakuan jenayah. 

"Justeru, ibu bapa dan penjaga diingatkan agar memberi lebih perhatian dan sentiasa memantau pergaulan anak masing-masing bagi mengekang kejadian sama di masa hadapan," ujarnya.

BACA LAGI







Catat Ulasan

0 Ulasan