Malaysia menggesa Thailand dan Kemboja menghentikan pertempuran yang tercetus semula di sepanjang sempadan kedua-dua negara baru-baru ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Thailand dan Kemboja adalah rakan rapat Malaysia dan anggota utama ASEAN.
Sehubungan itu, menurut beliau, Malaysia menggesa kedua-dua negara melaksanakan kawalan sepenuhnya, mengekalkan saluran komunikasi terbuka dan memanfaatkan sepenuhnya mekanisme yang sedia ada.
Anwar turut menyatakan kebimbangan mendalam terhadap laporan pertempuran tersebut dan turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mereka yang telah terkorban atau cedera.
Beliau berkata, pertempuran yang tercetus semula ini berisiko menghapuskan usaha teliti yang telah dilakukan untuk menstabilkan hubungan antara kedua-dua negara jiran tersebut.
"Rantau kita tidak mampu melihat pertikaian yang berlarutan menjurus kepada kitaran konfrontasi," katanya dalam hantaran Facebook hari ini.
Anwar menambah, keutamaan segera adalah menghentikan pertempuran, melindungi orang awam, dan kembali kepada laluan diplomatik.
"Laluan diplomatik itu mestilah disokong oleh undang-undang antarabangsa dan semangat kejiranan yang menjadi sandaran ASEAN," jelasnya.
Beliau turut menyatakan bahawa Malaysia bersedia menyokong langkah-langkah yang dapat membantu memulihkan ketenangan dan mengelakkan insiden selanjutnya.

0 Ulasan