Terima kasih SPRM sahkan calon pemilihan PKR disiasat - Rafizi

 

"Saya ingin ucapkan terima kasih kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana mengeluarkan kenyataan pukul 10 malam hari Ahad. Jarang jabatan kerajaan keluarkan kenyataan masa orang nak tidur hari Ahad ni."

Demikian sindiran sinis bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli susulan kenyataan media SPRM mengenai dakwaan seorang calon disiasat semasa  pemilihan PKR 2025.

Beliau berkata, walaupun SPRM menafikan tuduhan tersebut, kenyataan itu secara tidak langsung mengesahkan dua perkara.

"Pertama - memang betul seorang calon pemilihan PKR disiasat dan rumahnya didatangi pegawai SPRM. Kedua - memang betul dia dilepaskan tanpa ada sebarang pertuduhan," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Namun, Rafizi mendakwa SPRM mengelak daripada memberi maklumat penting, termasuk tarikh kejadian (yang berlaku semasa kemuncak pemilihan PKR April dan Mei yang lalu) dan tuduhan yang disiasat (iaitu pembelian sebuah flat kos rendah yang lelong pada harga murah yang sememangnya perlu dibayar tunai). 

Beliau menambah, garis masa perbualan beliau dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim boleh disahkan dengan menyemak rekod panggilan.

Menjawab persoalan mengapa perkara itu didedahkan sekarang, beliau berkata adab dalam organisasi atau keluarga adalah untuk menyuarakan perkara itu secara dalaman terlebih dahulu untuk diambil tindakan oleh mereka yang berkuasa.

Rafizi telah menyuarakan perkara itu secara terbuka apabila semua ruang telah digunakan sepenuhnya dan beliau tidak lagi terikat dengan peraturan Jemaah Menteri dan kerajaan.

"Sekiranya saya membawa perkara ini kepada pengetahuan umum ketika itu, dengan mudah pihak berkuasa memutar belit bahawa ia satu gimik pada ketika saya sedang bertanding," jelas beliau, sambil menyatakan situasi berbeza sekarang kerana orang ramai boleh melihat sendiri kontroversi demi kontroversi yang mempersoalkan kebebasan dan budaya profesional SPRM.

Beliau menekankan bahawa demi menjaga nama baik dan kredibiliti SPRM, jalan yang terbaik adalah dengan menukar kepimpinannya. 

Justeru, Rafizi menggesa agar SPRM dipertahankan dari dalam dan luar, supaya tidak ada perkara yang boleh membawa persepsi yang mempersoalkan kebebasannya.

BACA LAGI







Catat Ulasan

0 Ulasan