Felda & FGV hargai pendekatan konstruktif Kerajaan Negeri Terengganu

 

Felda dan FGV amat menghargai pendekatan konstruktif, keterbukaan serta kerjasama erat yang ditunjukkan oleh Kerajaan Negeri Terengganu, termasuk keputusan melanjutkan tempoh remedi sehingga 7 Januari 2026.

Menurut Felda dan FGV, hasil perbincangan yang positif itu juga membolehkan FGV memulakan semula operasi ladang hari ini seperti dipersetujui. 

"Perkembangan ini memberikan kelegaan besar kepada peneroka yang selama beberapa minggu ini berdepan ketidakpastian tentang pendapatan, masa depan keluarga dan kelangsungan hidup mereka. 

"Sejak awal, keutamaan kami adalah memastikan kebajikan, keselamatan ekonomi serta ketenteraman emosi peneroka khususnya anak jati Terengganu terus terpelihara," kata Felda dan FGV dalam kenyataan media bersama hari ini.

Dengan penarikan notis terbabit, Felda dan FGV kini dapat meneruskan operasi secara normal dan kembali memberi tumpuan kepada peningkatan hasil, pengukuhan pendapatan keluarga peneroka serta pembangunan komuniti di tanah rancangan

Kata Felda dan FGV, kepastian itu bukan sahaja mengembalikan keyakinan dalam kalangan peneroka dan pekerja, malah memastikan ekosistem ekonomi setempat terus stabil.

"Felda dan FGV merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Terengganu atas komitmen dan kesediaan untuk terus mengadakan perbincangan secara profesional. 

"Kerjasama ini amat bermakna kerana pada akhirnya kesejahteraan peneroka yang menjadi tunjang dan nadi Felda sejak penubuhan adalah kepentingan bersama yang mesti terus dipertahankan," jelasnya.

BACA LAGI






Catat Ulasan

0 Ulasan