Dewan Ulamak PAS gesa kerajaan kawal dakyah kultus

 

Dewan Ulamak PAS meneliti pendedahan demi pendedahan dakyah gerakan kultus Kristian yang menjadikan Malaysia sebagai sasaran penyebaran ajaran tersebut. 

Ketuanya, Datuk Ahmad Yahaya berkaya, pendedahan tersebut amat membimbangkan kerana ia melibatkan individu-individu kenamaan, bahkan program-program dakyah gerakan kultus ini kebanyakannya bernaung di bawah program kementerian.

Menurut beliau, Dewan Ulamak PAS berpandangan gerakan kultus sebegini sangat sukar untuk dikesan kerana mereka sering kali berselindung di sebalik slogan dan nama sejagat yang umum. 

"Gerakan kultus ajaran Sun Myung Moon seperti yang didedahkan penyelidik ketika ini bersembunyi di sebalik nama "Peace", "Love" dan sebagainya.

"Lebih membimbangkan adalah dakyah tersebut mensasarkan ahli legislatif Muslim suatu ketika dahulu, bahkan juga sudah beberapa kali masuk ke institusi pendidikan negara. 

"Program-program kempen atas nama sejagat sebegitu tidak mudah untuk dikesan jika tanpa ada semakan latar belakang yang menyeluruh dibuat," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Ahmad menambah, Dewan Ulamak PAS menggesa kerajaan supaya mengambil langkah yang teliti bagi menangani perkembangan dakyah Kristian yang semakin berleluasa. 

Sebelum ini, katanya, penyelidik CREED ini juga turut mendedahkan beberapa ajaran kultus lain yang menyebarkan dakyah songsang mereka ke dalam masyarakat.

"Dewan Ulamak PAS berpandangan satu dasar pengawalan agama bukan Islam wajar digubal. 

"Ia bagi mengawasi penyebaran dakyah bukan Islam terhadap umat Islam apatah lagi perkembangan gerakan kultus yang semakin membimbangkan dalam negara ketika ini. 

"Perkara 11(4) dan Perkara 11(5) Perlembagaan Persekutuan wajar diperkukuh dengan penggubalan dasar dan akta yang jelas supaya akidah umat Islam dapat diselamatkan daripada sebarang dakyah yang menyimpang," katanya.

BACA LAGI






Catat Ulasan

0 Ulasan