Gubal segera Akta Jenayah Seks Luar Tabii - NINJA Malaysia

 

Pertubuhan Kebajikan Nasionalis Insan Jalinan Akrab Malaysia (NINJA Malaysia) mendesak kerajaan segera menggubal Akta Jenayah Seks Luar Tabii bagi menghentikan normalisasi aktiviti songsang susulan serbuan ke atas sebuah spa di Chow Kit yang menyaksikan lebih 200 individu ditahan sebelum sebahagian besar dibebaskan selepas mahkamah menolak permohonan reman.

Presidennya, Nik Muhammad Hazim Nik Mohamed Hazmi berkata, pembebasan beramai-ramai termasuk 171 rakyat Malaysia itu membuktikan kelemahan ketara sistem perundangan sedia ada yang gagal memberi ruang tindakan tegas dan berkesan terhadap kegiatan seks songsang, walaupun terdapat bukti operasi dan aktiviti mencurigakan di lokasi kejadian.

“NINJA Malaysia menzahirkan rasa kecewa dan kebimbangan yang amat serius terhadap perkembangan terkini berkaitan isu spa songsang di Chow Kit, Kuala Lumpur yang melibatkan serbuan ke atas lebih 200 individu, termasuk 171 rakyat Malaysia yang akhirnya dibebaskan apabila mahkamah menolak permohonan reman pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Beliau berkata, pembebasan tersebut bukan sekadar isu teknikal, sebaliknya mencerminkan realiti bahawa Malaysia masih belum mempunyai undang-undang yang benar-benar tegas, khusus dan berkesan untuk mengawal serta membanteras aktiviti seks songsang dan luar tabii.

“Situasi ‘tiada mangsa, tiada kes’ yang sering menjadi alasan dalam kes seperti ini telah menjadikan undang-undang sedia ada tidak mampu berfungsi, dan akhirnya membuka ruang luas untuk kegiatan songsang beroperasi secara hampir tidak takut kepada tindakan undang-undang,” katanya.

Menurut Nik Muhammad Hazim, NINJA Malaysia menuntut kerajaan mengambil pendirian tegas tanpa kompromi dengan segera menggubal undang-undang baharu atau meminda akta sedia ada bagi mengklasifikasikan sebarang bentuk aktiviti seks songsang dan luar tabii sebagai jenayah berat.

“Kerajaan perlu segera menggubal undang-undang baharu atau meminda akta sedia ada bagi meletakkan apa jua bentuk aktiviti seks songsang dan luar tabii sebagai satu jenayah berat, tanpa memerlukan syarat pengakuan mangsa atau apa-apa halangan teknikal yang memungkinkan pelaku terlepas daripada tindakan,” katanya.

Beliau berkata, undang-undang tersebut juga perlu memberi kuasa jelas kepada agensi penguatkuasaan untuk bertindak berdasarkan bukti operasi, keadaan premis, perlakuan mencurigakan, penggunaan ruang tertutup serta elemen yang menggambarkan aktiviti tidak bermoral sedang berlaku.

Dalam pada itu, beliau menegaskan, premis spa, sauna dan pusat urut yang menyalahgunakan lesen perlu dikenakan tindakan tegas termasuk pembatalan lesen, penyitaan aset serta pendakwaan terhadap pemilik dan pengendali.

“Malaysia tidak boleh membiarkan ruang komersial dilacurkan untuk kegiatan yang menjejaskan akhlak dan moral masyarakat, apatah lagi apabila ia melibatkan majoriti umat Islam yang wajib memelihara kesucian agama,” katanya.

Nik Muhammad Hazim berkata, usaha membanteras aktiviti songsang tidak wajar dilihat sebagai hukuman semata-mata, sebaliknya langkah mempertahankan nilai agama, budaya dan sistem sosial negara.

“Malaysia adalah negara yang berteraskan Islam sebagai agama Persekutuan, dan nilai moral masyarakat mestilah dipelihara agar generasi akan datang tidak dibiarkan hanyut dalam budaya luar yang merosakkan akhlak, kesihatan mental, institusi keluarga dan keselamatan sosial,” katanya.

Beliau menegaskan komitmen NINJA Malaysia untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa, badan agama dan masyarakat sivil serta menggesa kerajaan tidak lagi menangguhkan penggubalan undang-undang yang lebih tegas dan berkesan.

“Kelemahan undang-undang pada hari ini akan mengundang kerosakan yang besar pada masa hadapan. Tindakan segera adalah satu kewajipan moral serta tanggungjawab nasional. Ini bukan sekadar isu undang-undang, ini isu masa depan negara,” katanya.

BACA LAGI






Catat Ulasan

0 Ulasan