Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mesti menunjukkan keprihatinan peribadi beliau dan mengarahkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifudin Nasution untuk memastikan satu siasatan yang bebas, adil, profesional dan telus oleh pihak berkuasa yang berkebolehan dengan bantuan polis berhubung insiden tembakan maut melibatkan tiga lelaki berketurunan India di Melaka minggu lalu.
Penasihat DAP, Lim Guan Eng berkata, terma rujukan bagi siasatan sedemikian adalah berkaitan sama ada pegawai polis yang terlibat telah menembak mati ketiga-tiga lelaki itu dengan kejam, versi awam oleh pihak polis mengenai apa yang telah berlaku, sama ada si mati terlibat dalam kegiatan jenayah serta jenis tindakan yang akan diambil terhadap pegawai polis tersebut jika didapati bersalah atas kesalahan membunuh atau salah laku jenayah.
Menurut beliau, tidak dapat dinafikan bahawa rakaman audio yang mengejutkan berhubung detik-detik terakhir oleh isteri salah seorang si mati sebelum, semasa dan selepas ketiga-tiga lelaki itu ditembak mati telah sangat mengganggu, malah mungkin mencemaskan orang ramai.
"Jika saya telah menerima begitu banyak mesej, saya pasti Perdana Menteri telah menerima lebih banyak lagi," katanya dalam kenyataan media hari ini.
Ahli Parlimen Bagan itu menambah, Perdana Menteri harus secara terbuka menangani kebimbangan serius orang awam ini dan mengeluarkan arahan sedemikian kepada Saifudin bukan sahaja demi memastikan keadilan kepada keluarga si mati.
"Lebih penting lagi, Perdana Menteri perlu meyakinkan orang ramai dengan menunjukkan secara terbuka bahawa beliau mematuhi kedaulatan undang-undang dan menegaskan keperluan bahawa mereka yang berkuasa tidak menyalahgunakan kuasa," jelasnya.

0 Ulasan