PMX tak mampu abai suara pengundi Sabah - Guan Eng

 

Penasihat DAP, Lim Guan Eng menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, untuk mempertimbangkan semula pelaksanaan langkah-langkah percukaian tambahan oleh Kerajaan Persekutuan.

Guan Eng berkata, keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah menunjukkan bahawa pengundi tidak berpuas hati atau tidak gembira dengan cukai tambahan itu.

“Perdana Menteri boleh memilih untuk tidak mendengar saya. Namun, beliau tidak mampu untuk mengabaikan suara pengundi Sabah. 

"Berbuat demikian akan menjejaskan prospek PH dan DAP serta sokongan rakyat terhadap kerajaan perpaduan,” katanya dalam satu kenyataan media, semalam.

Mengulas mengenai kritikan yang dilemparkan terhadapnya, Guan Eng menolak tuduhan bahawa beliau hanya membangkitkan kesusahan rakyat akibat peluasan asas percukaian Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), e-invois dan bayaran balik tertangguh bagi lebihan cukai yang telah dibayar, hanya selepas dan bukan sebelum PRN Sabah.

“Saya merujuk kepada kenyataan saya semasa sidang media di Parlimen kelmarin untuk menggesa Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) supaya mempercepatkan bayaran balik lebihan cukai sebanyak RM115,000 kepada seorang pemilik perniagaan PKS, Cheong Wei Foong dari Puchong, yang telah ditahan secara tidak adil oleh LHDN selama 5 tahun sejak 2020,” jelasnya.

Guan Eng turut mendedahkan bahawa beliau telah berucap berkali-kali di Parlimen sebelum PRN Sabah, menggesa kerajaan untuk menangguhkan dan mengkaji semula peluasan skop SST, e-invois, sumbangan 2 peratus oleh majikan kepada KWSP untuk pekerja asing mereka serta cukai-cukai lain.

“Sejak Disember 2024, saya telah membuat sekurang-kurangnya tujuh ucapan di Parlimen membantah peluasan skop SST dan langkah-langkah lain yang membebankan rakyat.

“Malah pihak media di Parlimen juga boleh mengingati dan mengesahkan bahawa saya telah berulang kali membuat ucapan meminta kajian semula dan penangguhan langkah-langkah SST, cukai dan lain-lain ini. 

"Tujuh ucapan di Parlimen tersebut dibuat pada 4 Disember 2024, 5 Februari 2025, 3 Mac 2025, 6 Mac 2025, 5 Mei 2025, 6 Ogos 2025 dan 16 Oktober 2025,” katanya.

Beliau melahirkan rasa kecewa kerana rayuannya yang dibuat lebih tujuh kali itu tidak diendahkan oleh Kerajaan Persekutuan atau Perdana Menteri.

“Sebaliknya, Perdana Menteri tetap meneruskan pelaksanaan langkah-langkah tersebut pada separuh kedua tahun 2025,” katanya.

Sehubungan itu, Guan Eng menggesa Perdana Menteri untuk mempertimbangkan semula semua langkah percukaian yang membebankan rakyat.

BACA LAGI 






Catat Ulasan

0 Ulasan