Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) amat risau terhadap cara kerajaan mengurus hubungan dengan Amerika Syarikat (AS), terutamanya berkaitan perjanjian perdagangan timbal balik (ART) yang ditandatangani semasa lawatan Presiden AS, Donald Trump.
Bekas Panglima Angkatan Tentera, Jeneral (B) Tan Sri Borhan Ahmad berkata, keadaan kini memperlihatkan bahawa Malaysia telah menyerahkan kedaulatan dan integriti negara kepada kuasa asing, dan ia tidak mencerminkan imej sebuah negara bangsa yang merdeka.
“Apakah kini kita sedang diperhambakan, dijajah semula, atau diperas ugut untuk menerima perjanjian yang berat sebelah ini?
“Apakah alasan kita tunduk kepada ancaman sekatan dan kenaikan ‘tarif’ jika kita tidak bersetuju dengan peraturan perdagangan yang tidak munasabah ini?” soalnya dalam kenyataan media, hari ini.
Borhan mengingatkan, sebagai anggota ASEAN, Malaysia sekian lama menegaskan bahawa kawasan ini adalah “Zon Aman dan Berkecuali (ZOPFAN)”.
Beliau berkata, sebagai negara anggota ASEAN, Malaysia juga menegaskan prinsip “tidak campur tangan” dalam urusan dalaman negara anggota lain di rantau ini.
“Bagi mendukung prinsip ini, kita mesti kekal berkecuali dalam semua bentuk dan keadaan, serta tidak memihak kepada mana-mana kuasa besar atau kuasa serantau,” tegasnya.
Borhan turut menekankan jasa dan pengorbanan pejuang negara terdahulu.
“Negara ini telah memperjuangkan kemerdekaannya melalui darah dan air mata, memerangi Parti Komunis Malaya (PKM) untuk menghapuskan ancaman tersebut, serta membina dan membangunkan negara sehingga berada pada tahap hari ini — dengan wujudnya Menara Berkembar, Menara Merdeka dan menara ikonik 118. Semua ini menjadi kebanggaan kita — dan mustahil dapat dicapai sekiranya ATM gagal dalam misinya.
“Jawapannya adala ‘TIDAK’. Maka janganlah kita menggadaikan negara hingga menjadi pengemis semula,” katanya.

0 Ulasan