Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) menegaskan bahawa pemberi rasuah tidak layak dilindungi sebagai pemberi maklumat (whistleblower) di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711).
Presiden MCW, Jais Abdul Karim berkata, perlindungan whistleblower hanya sah jika pelaporan dibuat sebelum melakukan kesalahan, dan melalui saluran rasmi pihak berkuasa.
Beliau berkata, pihaknya memandang serius tindakan sesetengah pihak yang cuba membentuk persepsi seolah-olah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bertindak secara salah dalam siasatan melibatkan seorang saksi kes rasuah, Albert Tei, yang kini mengaku sebagai pemberi rasuah.
“SPRM telah menegaskan bahawa tindakan penguatkuasaan dilakukan secara berprosedur, tanpa kekerasan, dan tanpa sebarang ancaman senjata seperti didakwa. MCW menolak usaha melemahkan institusi penguatkuasaan melalui dakwaan liar tanpa bukti.
“Sesiapa yang mendedahkan maklumat kepada media atau media sosial sebelum melaporkannya kepada pihak berkuasa secara sah, secara automatik hilang status whistleblower dan tidak memiliki sebarang kekebalan.
“Oleh itu, status sebagai saksi kerajaan tidak memadamkan jenayah memberi rasuah dan tidak menjadikannya ‘wira moral’,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Jais berkata, isu ini memperlihatkan trend berbahaya, iaitu pemberi rasuah mengugut atau memperdaya undang-undang apabila tidak mendapat manfaat daripada jenayah yang mereka lakukan.
“Jika budaya ini dibiarkan, semua pemberi rasuah akan tampil sebagai ‘hero integriti’ selepas gagal mendapatkan apa yang mereka mahukan. Ini bukan perjuangan integriti, ini manipulasi dan pemerasan terhadap undang-undang,” tegasnya.
Jais juga menyeru agar SPRM tidak dipaksa hanya menyiasat penerima rasuah.
“Malaysia tidak boleh mengamalkan keadilan separuh masak, pemberi dan penerima rasuah adalah dua jenayah yang sama berat.
“Tempat mencari kebenaran ialah mahkamah, bukan medan media sosial atau propaganda politik,” katanya.
Beliau turut menyeru semua pihak termasuk ahli politik, peguam, NGO, saksi, pengamal media dan masyarakat supaya tidak mengganggu siasatan melalui serangan persepsi.
“Individu yang mendakwa dirinya tidak bersalah boleh mencabar, menyaman dan membuktikan kebenarannya di mahkamah, bukan dengan mencipta naratif untuk meraih simpati,” ujarnya.

0 Ulasan