Takiyuddin diberi ruang untuk didengar JK Hak dan Kebebasan Parlimen - Azalina

 

Jemaah Menteri hari ini telah membuat keputusan supaya Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen bagi tujuan penelitian selanjutnya, selaras dengan Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, sejajar dengan keputusan tersebut, usul yang telah dibentangkan di Dewan Rakyat akan disesuaikan bagi membolehkan perkara itu dirujuk secara rasmi kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan untuk dipertimbangkan mengikut aturan yang ditetapkan.

"Keputusan ini diambil setelah mengambil kira pandangan yang dibangkitkan semasa perbahasan dan untuk memastikan bahawa Ahli Parlimen juga diberikan ruang untuk didengar dalam Jawatankuasa Hak dan Kebebasan serta membolehkan sebarang dapatan dibuat jawatankuasa tersebut yang mempunyai mandat khusus di bawah Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Beliau menambah, Kerajaan Madani percaya bahawa Jawatankuasa Hak dan Kebebasan akan menjalankan penelitian ini dengan penuh tanggungjawab, kebebasan dan integriti, selaras dengan peranan yang telah diamanahkan kepadanya oleh Dewan Rakyat. 

Azalina berkata, kerajaan Madani juga kekal komited untuk memelihara kewibawaan Parlimen sebagai institusi tertinggi negara, di samping memastikan bahawa isu-isu berbangkit ditangani berlandaskan kerangka demokrasi berparlimen.

BACA LAGI 







Catat Ulasan

0 Ulasan