Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, akan dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen bagi tujuan penelitian lanjut susulan kenyataan berunsur fitnah yang dibuat beliau mengenai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, keputusan itu dibuat hari ini, susulan keputusan Jemaah Menteri dan usul tersebut akan disesuaikan bagi membolehkan rujukan rasmi dibuat mengikut aturan yang ditetapkan.
"Usul ini dibuat berikutan kenyataan berunsur fitnah yang dibuat oleh Ahli Parlimen Kota Bharu mengenai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia pada 22 Oktober 2025.
"Usul ini dibuat selaras dengan Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat," katanya satu kenyataan media, hari ini.
Menurut beliau, keputusan itu juga diambil setelah mengambil kira pandangan yang dibangkitkan semasa perbahasan di dalam Dewan Rakyat pada 4 Disember 2025.
Saifuddin Nasution berkata, Kerajaan Madani percaya bahawa Jawatankuasa Hak dan Kebebasan akan menjalankan penelitian ini dengan penuh tanggungjawab, kebebasan dan integriti, selaras dengan peranan yang telah diamanahkan kepadanya oleh Dewan Rakyat.
Katanya, kerajaan turut menegaskan bahawa Parlimen adalah sebuah institusi yang mulia dan berwibawa.
"Justeru tidak wajar dijadikan medan untuk mana-mana Ahli Dewan bertindak sewenang-wenangnya menyebarkan fitnah dan tohmahan yang boleh menjejaskan kewibawaan institusi perundangan negara," ujarnya.
Tambah beliau, Kerajaan Madani kekal komited untuk memelihara martabat Parlimen sebagai institusi tertinggi negara.
"Kami akan memastikan setiap isu yang timbul ditangani secara berhemah dan berlandaskan amalan demokrasi berparlimen," katanya.

0 Ulasan