Jangan layan desakan DAP iktiraf UEC - Pemuda PAS

 

Pemuda PAS menolak desakan berterusan oleh DAP supaya kerajaan mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) sebagai sebahagian daripada sistem pendidikan negara.

Timbalan Ketuanya, Mohd Hafez Sabri berkata, tuntutan itu jelas bertentangan dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan serta Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67.

“Sejak 1975, ketika Tun Dr. Mahathir Mohamad memegang jawatan Menteri Pelajaran, kerajaan telah memberi ruang kepada UEC untuk beroperasi melalui sekolah swasta di Malaysia. 

"Seterusnya, pada tahun 2012, di bawah Kementerian Pendidikan yang dipimpin oleh Datuk Seri Najib Razak, UEC diberikan pengiktirafan bersyarat bagi tujuan pengambilan guru pelatih ke Institut Pendidikan Guru (IPG), dan itu pun terhad kepada bidang Pendidikan Bahasa Cina sahaja,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Beliau berkata, walaupun UEC dibenarkan beroperasi sejak 1975 dan diberikan pengiktirafan bersyarat pada 2012, kini timbul pula tuntutan agar kerajaan mengiktiraf UEC sepenuhnya setaraf dengan persijilan SPM dan STPM.

“Tiada keperluan bagi kerajaan untuk mengiktiraf UEC kerana selain bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan, ia juga menimbulkan ketidakadilan kepada murid-murid Cina yang mengikuti sistem pendidikan kebangsaan di sekolah menengah jenis Kebangsaan (SMJK). 

"Malah, sekolah jenis kebangsaan (SJK) dan SMJK telah diiktiraf sepenuhnya oleh Perlembagaan Persekutuan,” ujarnya.

Mohd Hafez berkata, Pemuda PAS mendesak Kerajaan Persekutuan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya bertegas dan tidak mengiktiraf UEC kerana negara telah lama mengamalkan satu sistem pendidikan kebangsaan yang menjadi asas kepada perpaduan dan pembangunan negara.

“Kerajaan perlu memastikan sistem pendidikan kebangsaan terus dipertahankan demi kepentingan generasi akan datang,” tambahnya yang juga ADUN Manjoi.

BACA LAGI






Catat Ulasan

0 Ulasan