![]() |
| Gambar hiasan: FB Alexander Nanta Linggi |
Kementerian Kerja Raya ingin memaklumkan bahawa Kerajaan MADANI kekal komited untuk melindungi kebajikan rakyat dengan meneruskan kadar tol seperti biasa bagi 2026 melibatkan 10 lebuh raya utama di seluruh negara.
Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, keputusan itu adalah selaras dengan pengumuman oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahhim pada 23 Julai 2025 dalam Pengumuman Penghargaan Untuk Rakyat Malaysia, di mana kerajaan telah bersetuju supaya rakyat terus menikmati kadar tol sedia ada tanpa sebarang kenaikan.
Menurut beliau, perkara itu kemudiannya telah dipersetujui secara retrospektif dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 17 Disember 2025, bagi memastikan kesinambungan pelaksanaan kadar tol tersebut.
"Ini melibatkan 10 lebuh raya iaitu Lebuhraya Cheras–Kajang (GRANDSAGA), Lebuhraya KL–Kuala Selangor (LATAR), Lebuhraya Pintas Selat Klang Utara Baru (NNKSB), Lebuhraya Senai–Desaru (SDE), Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2), Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE), Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah, Lebuhraya Duta–Ulu Kelang (DUKE), Lebuhraya Kuala Lumpur–Putrajaya (MEX) serta Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (LLB).
"Langkah ini membuktikan kesungguhan Kerajaan dalam meringankan beban kos sara hidup rakyat, khususnya pengguna lebuh raya, dengan memastikan tiada sebarang kenaikan kadar tol dilaksanakan sepanjang 2026," katanya dalam kenyataan media kelmarin.
Alexander menambah, walaupun kerajaan perlu menanggung implikasi kewangan yang besar dengan pampasan berjumlah RM591.56 juta bagi 2026, kerajaan tetap memilih untuk mendahulukan kepentingan rakyat.
Beliau berkata, peruntukan itu mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI dalam menjamin kesejahteraan dan kebajikan rakyat serta memastikan pertumbuhan ekonomi yang inklusif dan mampan.
"Kementerian Kerja Raya akan terus bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan bagi memastikan pengurusan lebuh raya negara kekal mampan, efisien dan selari dengan aspirasi Kerajaan MADANI yang mengutamakan rakyat," jelasnya.

0 Ulasan