Kadar tol kekal beri manfaat kepada pengguna lebuh raya - LLM

 

Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) menyambut baik pengumuman Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi mengenai keputusan kerajaan untuk meneruskan kadar tol sedia ada bagi 10 lebuh raya pada 2026 yang merupakan komitmen Kerajaan MADANI untuk terus melindungi kebajikan rakyat.

Ketua Pengarah LLM, Datuk Ir. Sazali Harun berkata, keputusan itu adalah selaras dengan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 23 Julai 2025 dalam Pengumuman Penghargaan Untuk Rakyat Malaysia, di mana kerajaan telah bersetuju supaya rakyat terus menikmati kadar tol sedia ada tanpa sebarang kenaikan. 

Beliau berkata, walaupun kerajaan perlu menanggung implikasi kewangan yang dianggarkan berjumlah RM591.56 juta, tetapi ia dapat memberi manfaat kepada hampir sejuta pengguna harian lebuh raya tersebut.

"Seiring dengan keputusan kerajaan meneruskan kadar tol sedia ada, LLM akan terus komited memastikan kepentingan pengguna terus terpelihara dalam menikmati perkhidmatan lebuh raya yang selamat, lancar dan berkualiti. 

"Di samping itu, LLM akan sentiasa memastikan syarikat konsesi melaksanakan operasi dan penyenggaraan lebuh raya mengikut standard yang ditetapkan serta menaik taraf kawasan rehat dan rawat (R&R) dan hentian sebelah agar lebih kondusif serta lengkap dengan kemudahan terkini antaranya seperti pengecas kenderaan elektrik (EV) dan akses internet (WiFi) percuma di beberapa lokasi terpilih," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Di samping itu, Sazali menambah, penekanan terhadap pengurusan aliran trafik bagi mengurangkan kesesakan dan memendekkan masa perjalanan akan terus diperkasakan untuk memastikan lebuh raya kekal relevan serta menyumbang kepada kesejahteraan rakyat.

Sazali berkata, LLM juga ingin merakamkan penghargaan kepada pihak Kerajaan MADANI atas komitmen berterusan dalam mendahulukan kepentingan pengguna lebuh raya. 

Kata Sazali, LLM akan terus melaksanakan pemantauan rapi terhadap pematuhan obligasi syarikat konsesi terutamanya dalam operasi dan penyenggaraan lebuh raya selaras dengan peruntukan perjanjian konsesi bagi memastikan kebajikan dan kepentingan pengguna lebuh raya berada pada tahap optimum.

"Selain itu, dalam usaha meningkatkan pengalaman pengguna, LLM turut menggalakkan penggunaan aplikasi digital seperti TuJu Highway Navigation App, LLM dan MyJalan sebagai platform rasmi bagi memudahkan pengguna mendapatkan maklumat trafik terkini, merancang perjalanan dengan lebih efisien serta menyalurkan aduan dan maklum balas secara terus. 

"Inisiatif ini selaras dengan usaha pendigitalan perkhidmatan dan penambahbaikan pengalaman pengguna lebuh raya," jelasnya.







Catat Ulasan

0 Ulasan