Keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang menunjukkan masyarakat perniagaan khususnya pengundi Cina yang menolak DAP dan Pakatan Harapan (PH) adalah isyarat bahawa rakyat mahukan pembaharuan yang signifikan untuk memastikan masa depan Malaysia.
Sekretariat Ikatan Prihatin Rakyat (IPR), Datuk Seri Azmin Ali berkata, perkara tersebut diperhalusi dalam mesyuarat IPR hari ini.
"IPR bersedia untuk menawarkan kebijakan dan dasar yang progresif bagi menjana pertumbuhan ekonomi yang membawa kemakmuran dan kesejahteraan untuk semua," katanya dalam kenyataan media malam ini.
Sementara itu, beliau berkata, Perjanjian Timbal Balik Perdagangan (ART) Malaysia - Amerika Syarikat (AS) mengundang kritikan yang keras dari pelbagai pihak.
Azmin berkata, ART mengenakan ruang dasar ekonomi Malaysia dan terikat untuk menyelesaikan dasar industri dan keselamatan ekonomi dengan kehendak AS.
"IPR melahirkan kebimbangan di atas masa depan kedaulatan dan keselamatan negara.
"IPR berpendirian untuk terus membahaskan isu ART yang nyata bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan mesti disemak semula," jelasnya.
Dalam pada itu, menurut beliau, IPR akan menganjurkan Konvensyen Rakyat-Selamatkan Malaysia awal tahun hadapan.
Azmin berkata, semua anggota IPR akan dilibatkan untuk membincangkan dasar ekonomi termasuk kos sara hidup, sistem pendidikan yang memberi penekanan terhadap nilai yang murni, keselamatan negara dan rakyat dan perpaduan rakyat Malaysia melalui kerangka dasar yang komprehensif.

0 Ulasan