Mahfuz minta Azman jangan perbodohkan rakyat

 

Dakwaan Ahli Parlimen Padang Serai, Datuk Azman Nasrudin bahawa penahanan dan pendakwaan terhadap beliau adalah hasil campur tangan politik disifatkan sebagai tidak berasas serta memperbodohkan rakyat dengan naratif lama yang sudah tidak laku.

Naib Presiden Amanah, Datuk Mahfuz Omar berkata, apa yang berlaku hari ini langsung tidak menyerupai zaman kegelapan pentadbiran dahulu, ketika kerajaan benar-benar mencengkam badan penyiasatan, pendakwaan dan kehakiman.

Menurut beliau, kes yang sudah didakwa di mahkamah tidak wajar lagi dikaitkan dengan kerajaan. 

“Bila pertuduhan sudah dibacakan di Mahkamah Shah Alam, SPRM dan Pendakwa Raya telah bertindak mengikut bukti. Kerajaan tidak campur tangan. 

"Mereka yang masih menjerit ‘politikal’ selepas kes masuk mahkamah sebenarnya cuba mencipta alasan untuk lari daripada realiti. Kalau ikut logik seperti ini, sampai saman trafik pun nanti kena salahkan Putrajaya,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Mahfuz berkata, zaman kerajaan campur tangan dalam penyiasatan, pendakwaan dan kehakiman telah lama berlalu. 

Beliau mengingatkan bahawa mangsa sebenar campur tangan kerajaan dahulu ialah dua tokoh besar negara, iaitu bekas Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas yang dipecat dalam krisis kehakiman 1988, serta Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang pernah menjadi mangsa era gelap tersebut. 

“Itu campur tangan sebenar. Itu penyalahgunaan kuasa yang nyata. Itulah kezaliman yang terbukti dalam sejarah,” katanya.

Menurut beliau, pembangkang hari ini bukan berdepan kerajaan, sebaliknya berdepan fakta, logik dan sejarah negara sendiri. “SPRM menjalankan siasatan ikut aduan dan bukti. Pendakwa Raya buat keputusan bebas. Mahkamah tentukan tanpa campur tangan eksekutif. 

"Tapi pembangkang tetap ulang skrip basi: ‘ini politik!’ Menggelikan. Menghina intelektual rakyat. Dan memperlihatkan betapa dangkalnya hujah mereka,” jelasnya.

Mahfuz turut menyatakan imej Perikatan Nasional (PN) rosak bukan kerana kerajaan, tetapi akibat perbuatan pemimpin parti itu sendiri. 

“Setiap minggu ada kes baharu. Setiap bulan ada isu baharu. Kalau mahu bersihkan imej, mulakan dalam parti sendiri. Jangan salahkan kerajaan bila kes timbul hasil perbuatan sendiri,” katanya.

Beliau berkata, rakyat sudah muak dengan drama air mata dan skrip ‘saya difitnah’. 

“Jika benar tidak bersalah, buktikan di mahkamah. Jangan sembunyi di sebalik persepsi,” katanya.









Catat Ulasan

0 Ulasan