Mesyuarat khas PRK Kinabatangan & Lamag 16 Disember

 

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan tarikh-tarikh penting Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag, Sabah pada 16 Disember ini.

Setiausaha SPR, Datuk Khairul Shahril Idrus berkata, mesyuarat khas itu diadakan susulan penerimaan notis rasmi mengenai kekosongan luar jangka kedua-dua kerusi tersebut berikutan kematian penyandangnya, Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Menurut beliau, SPR telah menerima pemakluman rasmi daripada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Dr. Johari Abdul pada 8 Disember dan Speaker DUN Sabah, Datuk Seri Kadzim M. Yahya pada 9 Disember.

"Selaras dengan Perkara 54 Fasal (1) Perlembagaan Persekutuan dan Perkara 21 (5) Perlembagaan Negeri Sabah, kekosongan luar jangka bagi kedua-dua kerusi Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag, Sabah, hendaklah diisi dalam tempoh 60 hari dari tarikh kekosongan dipastikan oleh SPR," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Tambah Khairul Shahril, mesyuarat khas tersebut akan dipengerusikan oleh Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun.

Katanya, antara tarikh-tarikh penting PRK Parlimen Kinabatangan dan PRK DUN Lamag yang akan dibincangkan termasuk tarikh Writ Pilihan Raya, Hari Penamaan Calon, Hari Pengundian, Daftar Pemilih yang akan digunakan, serta persiapan-persiapan lain bagi melaksanakan pilihan raya tersebut.

"Sidang media akan diadakan sejurus selepas mesyuarat khas tersebut berakhir," jelasnya.

BACA LAGI






Catat Ulasan

0 Ulasan