Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar telah mengeluarkan notis tuntutan terhadap seorang individu bernama Azuan bin Mazalan berhubung penerbitan kandungan dalam Facebook berkaitan serbuan di spa songsang yang didakwa mengandungi tuduhan fitnah dan berniat jahat terhadap beliau.
Firma guaman yang mewakili beliau, Akberdin & Co, telah mengeluarkan notis tersebut susulan penerbitan kandungan yang mengaitkan beliau dengan tuduhan tidak benar.
Mohd. Na'im menegaskan, kandungan tersebut, sebagaimana dinyatakan oleh pihak peguam dalam notis, bukan sahaja mengandungi dakwaan yang tidak berasas, bahkan membawa maksud yang boleh merosakkan reputasi, maruah serta kedudukannya sebagai anggota pentadbiran kerajaan.
"Tuduhan sedemikian juga mencemarkan integriti institusi Hal Ehwal Agama yang saya pimpin," katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Sehubungan itu, beliau berkata, tindakan undang-undang terpaksa diambil adalah bagi mempertahan kebenaran, melindungi reputasi serta menghentikan penyebaran fitnah yang boleh mengelirukan masyarakat dan menjejaskan keyakinan terhadap institusi agama negara.
Mohd. Na'im menambah, semua dakwaan yang ditularkan adalah palsu dan tidak berlandaskan sebarang fakta.
Beliau mengingatkan bahawa penyebaran fitnah adalah satu kesalahan dari sudut undang-undang dan bertentangan dengan nilai Islam yang menuntut keadilan serta larangan keras terhadap tohmahan.
"Tindakan undang-undang diambil menurut hak saya sebagai warganegara.
"Tujuannya bukan untuk menghukum sesiapa secara peribadi, tetapi untuk memastikan ruang digital tidak disalahgunakan untuk menyebarkan kebencian, manipulasi persepsi dan meruntuhkan kepercayaan masyarakat melalui maklumat palsu," katanya.
Mohd. Na’im berkata, beliau menghormati proses undang-undang dan tindakan seterusnya akan diserahkan sepenuhnya kepada pihak guaman mengikut lunas peruntukan undang-undang sedia ada.
Beliau berkata, fokus utamanya kekal kepada tugas amanah sebagai seorang menteri.
"Saya akan terus memberikan tumpuan kepada agenda Malaysia MADANI, pengukuhan syiar Islam, pemerkasaan institusi agama serta kebajikan ummah di seluruh negara," katanya.
Mohd. Na’im menyeru seluruh masyarakat agar sentiasa berwaspada dalam menerima dan menyebarkan maklumat.
"Semak sebelum kongsi, dan utamakan adab serta akhlak dalam berinteraksi dalam media sosial," katanya.

0 Ulasan