Timbalan Presiden Parti Amanah Negara, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof hari ini menarik balik saman fitnah yang difailkan terhadap Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berhubung satu hantaran di akaun Facebook PAS Pusat pada 16 Oktober 2022.
Saman sivil berkenaan difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Dalam kenyataan bersama, Mujahid dan Takiyuddin menjelaskan bahawa keputusan itu dibuat selepas menimbang kesan tindakan saman fitnah serta kos perundangan yang bakal ditanggung.
Mereka menegaskan bahawa terdapat isu lebih besar dan penting yang perlu diberikan perhatian demi kepentingan negara.
“Justeru, Datuk Seri Dr. Mujahid bin Yusof dan YB Datuk Seri Takiyuddin bin Hassan telah mengambil keputusan untuk menghentikan pertikaian mereka dalam prosiding tersebut,” kata kenyataan itu.
Sehubungan itu, Takiyuddin tanpa pengakuan terhadap sebarang liabiliti, secara terbuka memohon maaf kepada Mujahid berhubung hantaran tersebut.
“Dengan secara terbuka dan suci hati, saya memohon maaf kepada Datuk Seri Dr. Mujahid bin Yusof atas hantaran tersebut,” ujar Takiyuddin.
Mujahid pula menghargai tindakan murni berkenaan dan bersetuju menarik balik saman tersebut tanpa kebebasan memfailkan semula serta tanpa sebarang perintah berkenaan kos.
Kedua-dua pemimpin itu turut merakamkan penghargaan kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, pegawai-pegawai mahkamah serta peguam-peguam yang terlibat atas profesionalisme dan budi bicara mereka dalam mengendalikan kes tersebut.
Kedua-dua pihak berharap penyelesaian tersebut diterima dan dihormati semua pihak serta tidak dijadikan bahan untuk mengganggu-gugat kesejahteraan, perpaduan dan keharmonian negara.

0 Ulasan