PAS menawarkan kesediaannya menerajui Perikatan Nasional (PN) selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin meletak jawatan Pengerusi hari ini.
Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, langkah itu bertujuan memperkasakan organisasi dan persiapan bagi menghadapi pilihan raya negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
"PAS menyeru semua pihak agar bermuhasabah dan mengambil iktibar atas apa yang berlaku, dan seterusnya mengambil segala langkah bagi memperkukuh lagi kepercayaan rakyat terhadap PN," katanya dalam kenyataan media, hari ini..
Sementara itu, beliau berkata, PAS komited untuk meneruskan kelangsungan dan keberadaannya dalam Kerajaan Negeri Perlis selaras dengan mandat yang telah diberikan oleh rakyat pada PRU-15.
"Namun pada masa sama PAS tidak akan menganggotai Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) yang akan dibentuk oleh Menteri Besar Perlis yang baharu.
"Semua anggota Exco sedia ada daripada PAS akan melepaskan jawatan masing-masing sebagai tanda solidariti dan seiring dengan peletakan jawatan mantan Menteri Besar yang lepas," katanya.
Takiyuddin memberitahu, PAS juga menegaskan komitmen untuk kekal selamanya menghormati lunas-lunas undang-undang, prinsip-prinsip demokrasi, konsep Raja berperlembagaan serta kebijaksanaan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail demi kemaslahatan negeri dan rakyat.

0 Ulasan