Pemuda maut kereta terbabas masuk semak

 

Seorang pemuda maut selepas kereta yang dipandunya hilang kawalan lalu terbabas memasuki kawasan semak di bahu jalan di Lebuh SPA PLKN, Alor Gajah, awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ahmad Abu Bakar berkata, kemalangan maut yang berlaku kira-kira pukul 3.00 pagi itu melibatkan sebuah Proton Satria berwarna perak.

Menurut beliau, mangsa yang merupakan lelaki Melayu berusia 22 tahun itu sedang memandu dari arah Lebuh SPA menghala ke Gangsa.

“Hasil siasatan awal mendapati pemandu berkenaan dipercayai gagal mengawal kenderaan sebelum terbabas memasuki kawasan semak di bahu jalan. 

"Akibat kemalangan itu, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan maut di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan media, semalam.

Tambah Ahmad, mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Alor Gajah untuk proses bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Polis turut meminta saksi kejadian tersebut tampil memberi keterangan bagi membantu siasatan dan mereka boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Kes, Inspektor Nurul Salina di talian 011-25435507 (Trafik Alor Gajah).

BACA LAGI







Catat Ulasan

0 Ulasan