Penunggang motosikal maut dalam kemalangan

 

Seorang penunggang motosikal maut selepas motosikal yang ditunggangnya terlibat dalam kemalangan di Kilometer 52, Jalan Mukah-Selangau, hari ini.

Ketua Polis Daerah Mukah, Deputi Superintendan Muhamad Rizal Alias berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 2.40 petang.

“Hasil siasatan awal, kemalangan berlaku apabila motosikal yang ditunggang oleh seorang lelaki berumur 20 tahun dari arah Mukah dalam perjalanan menuju ke Sibu telah hilang kawalan lalu melanggar pengadang jalan di tepi jalan.

“Akibat impak perlanggaran tersebut mangsa terjatuh dari motosikal manakala motosikal mangsa yang masih bergerak telah dilanggar oleh sebuah kenderaan pacuan empat roda (4WD) yang dipandu oleh seorang lelaki berumur 43 tahun di laluan bertentangan,” katanya dalam kenyataan media malam ini.

Beliau berkata, mangsa yang mengalami cedera parah di bahagian kepala disahkan meninggal dunia oleh Pegawai Perubatan Hospital Mukah.

Bagaimanapun, katanya, pemandu kenderaan pacuan empat roda (4WD) tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Muhamad Rizal meminta saksi kejadian menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Mohd. Rahmat Jalimin di talian 011-31627137 atau tampil di mana-mana balai polis berhampiran untuk membantu siasatan.

BACA LAGI 






Catat Ulasan

0 Ulasan