Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin menerima banyak maklum balas dan keresahan daripada rakyat berhubung rombakan Kabinet yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam.
Menurut beliau, dalam tempoh 24 jam lalu, pelbagai pihak telah membangkitkan rasa curiga terhadap hala tuju sebenar rombakan itu.
"Rakyat berhak bertanya, adakah rombakan Kabinet ini akibat tekanan politik atau habuan kuasa?
"Persoalan ini berasas, terutamanya apabila kementerian-kementerian yang mempunyai pengaruh besar terhadap kerajaan tempatan dan wilayah, kini dikuasai satu parti yang sebelum ini lantang memperjuangkan pilihan raya kerajaan tempatan," katanya dalam kenyataan media hari ini.
Pada masa yang sama, Hamzah berkata, perubahan kementerian strategik seperti Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, yang menjadi tunjang kepada pengukuhan ekonomi khususnya dalam membantu Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PKMS) yang kebanyakannya adalah bumiputera, juga perlu diperjelaskan secara telus.
Beliau berkata, lebih menimbulkan keraguan apabila menteri-menteri yang prestasi serta tindak-tanduknya dipersoalkan secara terbuka oleh rakyat terus dikekalkan.
"Begitu juga dengan pelantikan baharu individu yang dipertikaikan latar belakangnya.
"Rombakan Kabinet bukan sekadar soal menukar wajah, tetapi ia mestilah menzahirkan keupayaan kerajaan menjawab kegagalan sedia ada, bukannya semata-mata demi untung secupak hingga rugi segantang kerana yang menanggung kesannya adalah rakyat dan negara," jelasnya.

0 Ulasan