Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas kepercayaan yang telah diberikan kepadanya untuk menggalas amanah sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) dalam Kerajaan MADANI.
Beliau percaya setiap keputusan yang diambil oleh YAB Perdana Menteri dibuat dengan penuh pertimbangan, berlandaskan kepentingan negara serta keperluan untuk memastikan pentadbiran Kerajaan MADANI terus stabil, berfungsi dan fokus kepada agenda reformasi yang telah digariskan.
Dr. Zaliha turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga kerja Jabatan Wilayah Persekutuan serta agensi-agensinya atas komitmen dan kerjasama yang sangat baik sepanjang tempoh saya menerajui portfolio itu.
"Dalam tempoh hampir dua tahun, pelbagai isu legasi yang berlarutan telah dapat ditangani secara berperingkat, termasuk usaha tegas membanteras kartel bazar yang sekian lama menekan penjaja kecil dan peniaga mikro.
"Melalui pelaksanaan Program Usaha Jaya Insan (PUJI), Kerajaan MADANI di Wilayah Persekutuan juga telah berjaya menoktahkan miskin tegar, sekali gus membuktikan bahawa pendekatan bersasar, bersepadu dan berteraskan data mampu membawa perubahan sebenar kepada kehidupan rakyat," katanya dalam kenyataan malam tadi.
Beliau menambah, di Labuan, fokus pemerkasaan ekonomi tempatan terus digerakkan melalui inisiatif pelancongan dan kebolehhubungan, termasuk pengoperasian semula feri ekspres Labuan–Kota Kinabalu serta pelaksanaan kajian kebolehlaksanaan Jambatan Labuan–Menumbok yang kini berada pada fasa pelaksanaan.
Dr. Zaliha turut mengucapkan tahniah kepada Hannah Yeoh atas pelantikan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) yang baharu.
"Semoga beliau dapat meneruskan agenda pembangunan Wilayah Persekutuan demi kesejahteraan rakyat," jelasnya.
Dr. Zaliha juga mengucapkan selamat maju jaya kepada seluruh barisan Jemaah Menteri Kerajaan MADANI yang baru dilantik.
"Sebagai anggota Kerajaan MADANI, saya akan terus memberikan sokongan penuh kepada agenda MADANI serta dasar-dasar reformasi yang sedang dan akan dilaksanakan demi negara dan rakyat," katanya.

0 Ulasan