Datuk Dr. Akmal Saleh akan meletak jawatan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Melaka mulai minggu depan.
Namun, beliau tetap mempertahankan jawatan Ketua Pemuda UMNO kerana mahu melawan DAP habis-habisan.
Dr. Akmal berkata, keputusan mempertahankan jawatan Ketua Pemuda UMNO adalah untuk membuktikan beliau tidak sama sekali akan lari daripada perjuangan membela agama, bangsa dan tanah air.
Beliau berkata, jawatan Exco Kerajaan Negeri Melaka disifatkan tidak sepenting seperti mana mempertahankan maruah, prinsip dan suara akar umbi selaku Ketua Pemuda UMNO.
“Saya nak beritahu kepada yang tanya saya 'lu siapa’ sebelum ini, saya nak jawab…'gua’ ada maruah, 'lu’ ada maruah atau tidak.
“Saya nak beri amaran kepada pihak yang selalu cakap tentang saya, yang selalu menekan Presiden UMNO dan Ketua Menteri Melaka, apabila saya tidak berada dalam Exco…saya akan lawan kamu habis-habisan,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar Ketua Pemuda UMNO pada Perhimpunan Agung Pemuda UMNO 2025 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur hari ini.
Baru-baru ini, DAP Melaka dan DAPSY mendesak Dr. Akmal meletak jawatan selepas ADUN Merlimau itu menggesa UMNO keluar dari Kerajaan Perpaduan pada Konvensyen Khas Pemuda UMNO 3 Januari lalu.
Dr. Akmal menambah, keputusan mempertahankan jawatan Ketua Pemuda UMNO yang dibuat atas kepentingan parti dan atas dasar prinsip serta maruah bukan perkara yang boleh dirunding, apatah lagi untuk dijadikan bahan jenaka.
Katanya, beliau sendiri tidak pernah gentar dengan cemuhan, kritikan dan herdikan, apatah lagi tekanan oleh pihak lawan politik kerana menyedari jawatan Ketua Pemuda UMNO yang dipegang adalah tanggungjawab besar dan maruah seluruh ahli Pemuda UMNO.
“Ini bukan soal jawatan dan wang ringgit…tetapi disebabkan tanggungjawab, prinsip dan maruah saya, maka saya berani letak jawatan Exco untuk lawan DAP habis-habisan,” jelasnya.

0 Ulasan