PAS tidak boleh bekerjasama dalam membenarkan salah laku, contohnya apa yang baru sahaja berlaku di Perlis, walaupun dilakukan oleh ahli parti itu sendiri dan kehilangan kerusi yang boleh menjatuhkan kerajaannya.
Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, hal ini demikian kerana, PAS mempunyai dasar dan akar umbi yang kukuh, serta cabang yang tidak mati kalau dipotong, sebaliknya menumbuhkan tunas yang lebih banyak dan subur.
Menurut beliau, PAS pernah bertahaluf dengan Parti Perikatan (UMNO, MCA dan MIC) ketika meletusnya peristiwa 13 Mei 1969, begitu juga bertahaluf dengan Parti Semangat 46 yang berpecah daripada UMNO.
"Setelah itu, PAS bertahaluf bersama Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Tindakan Demokratik (DAP) bagi menentang kezaliman dan pencabulan terhadap demokrasi.
"Kemudiannya, PAS berta‘awun dengan UMNO dalam usaha pindaan Rang Undang-Undang (RUU) 355 yang berkait dengan pelaksanaan undang-undang jenayah syariah untuk meminda hukuman sebatan kepada cara Islam yang bersifat mendidik, bukan menyeksa," katanya dalam kenyataan hari ini.
Abdul Hadi berkata, hubungan persaudaraan Islam khususnya dalam satu bangsa adalah lebih erat dan penting kerana bersifat prinsip (iman) termasuk keluarga yang dekat (silaturahim) yang haram diputuskan.
Beliau berkata, bagi merealisasikan hubungan seagama, bangsa dan kemanusiaan, usaha perpaduan ummah wajib dilaksanakan sehingga menjadi kenyataan.
"Maka, semua pihak wajib bertasamuh mengetepikan kepentingan duniawi seperti kepentingan diri, pangkat dan harta," jelasnya.

0 Ulasan