Pasport terbang: 41 pegawai imigresen kena tindakan tatatertib

 

Jabatan Imigresen mengesahkan seramai 41 pegawainya telah dikenakan tindakan tatatertib kerana didapati terlibat dalam kes berkaitan pasport terbang sepanjang 2022 hingga 2025.

Ketua Pengarahnya, Datuk Zakaria Shaaban berkata,  daripada jumlah tersebut, 20 orang pegawai telah dijatuhkan hukuman buang kerja selepas disabitkan dengan kesalahan. 

"Tindakan ini diambil hasil siasatan dalaman yang telus dan berlandaskan peraturan yang ditetapkan," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Beliau mengulas kenyataan media Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) pada 19 Januari 2026 berhubung laporan siasatan berkaitan dakwaan aktiviti pasport terbang di Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

Zakaria menambah, tindakan tatatertib dilaksanakan terhadap pegawai-pegawai terlibat selaras dengan Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993

Menurut beliau, langkah itu mencerminkan pendirian tegas Jabatan Imigresen bahawa sebarang salah laku, khususnya yang melibatkan integriti dan kepercayaan awam, tidak akan dikompromi.

Zakaria menegaskan, setiap kes yang dirujuk oleh EAIC akan diteliti secara menyeluruh dan ditangani dengan serius tanpa sebarang kompromi. 

"Bagi 2025, sebanyak 61 kes telah dirujuk oleh EAIC dan kesemua kes terlibat dibawa ke Mesyuarat Jawatankuasa Aduan dan diambil tindakan selaras dengan proses serta peruntukan tatatertib yang berkuat kuasa. 

"Pendekatan ini mencerminkan komitmen berterusan Jabatan Imigresen terhadap prinsip akauntabiliti, integriti dan tadbir urus yang baik," jelasnya.

BACA LAGI






Catat Ulasan

0 Ulasan