Global Peace Mission (GPM) Malaysia mengecam keras tindakan rejim Zionis Israel yang meruntuhkan Ibu Pejabat UNRWA di Sheikh Jarrah, Baitulmuqaddis Timur, serta ancaman memutuskan bekalan elektrik, air dan komunikasi terhadap pejabat dan premis UNRWA di Palestin bermula 26 Januari 2026.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ahmad Fahmi Mohd. Samsudin berkata, tindakan itu jelas mencerminkan sikap bacul Israel yang terus mengkhianati perjanjian damai, mencabul undang undang antarabangsa dan menghina komitmen yang telah dipersetujui di bawah naungan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).
Menurut beliau, premis UNRWA adalah institusi kemanusiaan yang dilindungi oleh perjanjian antarabangsa dan sebarang pencerobohan terhadapnya merupakan pelanggaran serius terhadap prinsip keamanan, diplomasi dan imuniti PBB.
"Rejim Zionis Israel tidak layak mendakwa mereka memberi komitmen kepada keamanan sambil secara sistematik melumpuhkan institusi kemanusiaan yang menjadi tulang belakang kelangsungan hidup jutaan pelarian Palestin.
"Tindakan ini termasuk mengibarkan bendera Israel membuktikan bahawa rejim Zionis ini memilih kekerasan dan hukuman kolektif berbanding penyelesaian damai, sekali gus mewujudkan duluan berbahaya yang menggugat keseluruhan sistem kemanusiaan antarabangsa," katanya dalam kenyataan media hari ini.
Sehubungan itu, Ahmad Fahmi berkata, GPM Malaysia menggesa Kerajaan Malaysia khususnya Wisma Putra untuk mengambil pendirian tegas dan konsisten di peringkat antarabangsa, termasuk di PBB dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) bagi menuntut perlindungan segera terhadap UNRWA, memastikan akauntabiliti ke atas pelanggaran ini, serta menolak sebarang usaha menormalkan pencabulan terhadap institusi kemanusiaan.
Beliau berkata, GPM Malaysia menegaskan bahawa keamanan tidak boleh dibina di atas runtuhan institusi kemanusiaan dan penderitaan rakyat awam.
"Komuniti antarabangsa tidak wajar terus berdiam diri terhadap pelanggaran berulang ini," ujarnya.

0 Ulasan