Dewan Ulamak PAS kesal menteri agama berlembut dengan individu pijak al-Quran

 

Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) menzahirkan rasa kesal dan bantahan keras terhadap kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan, yang mencadangkan pendekatan "mengajar" berbanding "menghukum" terhadap pelaku yang secara terang-terangan menghina kesucian Al-Quran dengan memuat naik gambar memijak kitab suci tersebut.

Ketua Penerangannya, Datuk Mohd. Nor Hamzah berkata, DUPP menegaskan bahawa Zulkifli telah terkhilaf dalam memberikan pendapat. 

Menurut beliau, pendekatan yang terlalu lunak terhadap penghina agama adalah satu tindakan yang menjauh daripada manhaj yang dilaksanakan oleh Rasulullah SAW dan para sahabat r.a. 

Mohd. Nor berkata, walaupun Islam itu agama dakwah, namun Islam juga adalah agama yang mementingkan izzah (kemuliaan) dan ketegasan dalam memelihara syiar. 

"Rasulullah SAW tidak pernah berkompromi dalam hal-hal yang melibatkan penghinaan terhadap ketuanan Islam dan kesucian wahyu.

"Adakah maruah agama ini begitu rendah di mata YB Menteri? 

"Kami mempersoalkan mengapa kepentingan dan perasaan pelaku yang menghina agama seolah-olah lebih didahulukan berbanding maruah Islam yang telah dipijak-pijak. 

"Pendekatan taaruf mempunyai tempatnya, namun meletakkan taaruf pada tempat penghinaan yang melampau adalah satu bentuk salah guna konsep yang boleh membawa kepada keberanian orang kafir untuk terus memijak kepala umat Islam," katanya dalam kenyataan media pada 26 Februari 2026.

Kata beliau, menyentuh sikap "berlembut" yang tidak bertempat ini, kami mengingatkan pesanan Imam Asy-Syafie rahimahullah yang dirakamkan di dalam kitab Siyar A’lam an-Nubala:

مَنْ اسْتُغْضِبَ فَلَمْ يَغْضَبْ فَهُوَ حِمَارٌ

"Barangsiapa yang dibangkitkan kemarahannya (kerana agamanya dihina) namun dia tidak marah, maka dia adalah seekor keldai."

Mohd. Nor berkata, umat Islam yang mempunyai iman di dalam dada pasti akan merasa terbakar jiwanya apabila melihat al-Quran dipijak. 

"Jika pemimpin agama sendiri tidak menunjukkan ketegasan, di manakah lagi rakyat mahu bergantung harap untuk melihat syiar Islam dipertahankan?" soalnya.

Beliau menambah, DUPP mendesak agar pihak berkuasa mengenakan hukuman yang paling berat dan tegas mengikut peruntukan undang-undang sedia ada sebagai pengajaran buat semua pihak. 

Katanya, jangan biarkan keharmonian negara dicabuli oleh individu yang sengaja mencetuskan provokasi melampau, kemudian dilepaskan dengan sekadar "nasihat".

"Akhir sekali, DUPP mengajak seluruh umat Islam untuk bangkit menyatakan bantahan dan memperbanyakkan doa memohon perlindungan Allah buat kesucian agama kita. 

"Kita mengikuti jejak langkah Saidina Umar al-Khattab r.a. yang dalam sejarahnya, terutamanya pada malam-malam Ramadan, beliau tidak mendoakan kesejahteraan buat musuh yang memusuhi Islam, sebaliknya mendoakan laknat dan kehancuran buat mereka yang berterusan menentang dan merendahkan agama Allah ini," jelasnya.

BACA LAGI







Catat Ulasan

0 Ulasan