Seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 20-an disahkan meninggal dunia selepas dipercayai terjatuh dari sebuah kenderaan yang sedang bergerak di Jalan Seremban–Nilai berhampiran Taman Kirby, Batu 9, Labu, Negeri Sembilan.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Johari Yahya berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira pukul 11.37 pagi semalam daripada seorang wanita tempatan yang juga rakan mangsa.
“Kejadian berkenaan dilaporkan berlaku pada 2 Februari 2026, kira-kira pukul 3.00 petang. Siasatan awal mendapati kejadian berlaku semasa mangsa berada di dalam sebuah kereta yang dipandu oleh pengadu.
"Ketika dalam perjalanan, berlaku perbincangan sebelum mangsa dipercayai bertindak keluar dari kenderaan tersebut secara tiba-tiba,” katanya dalam kenyataan media semalam.
Menurut beliau, mangsa didapati tidak sedarkan diri di lokasi kejadian sebelum dibawa ke Hospital Tuanku Ja'afar, Seremban. Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia pada pukul 12.30 tengah hari semalam oleh pegawai perubatan.
“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan siasatan lanjut masih dijalankan.
"Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi dan jika mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian ini diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi balai polis berhampiran atau Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai,” katanya.

0 Ulasan