![]() |
| Gambar: Palestinian Information Center |
Tentera rejim Zionis Israel melancarkan serbuan ke atas beberapa kediaman dan menculik beberapa rakyat Palestin di sekitar Tebing Barat awal pagi tadi.
Memetik laporan Palestinian Information Center, mereka menceroboh serta menggeledah beberapa rumah di kem pelarian Balata, dekat Nablus, selain menyerang seorang pemuda yang sakit daripada keluarga Kaabi serta penduduk lain daripada keluarga Titi.
Dalam operasi itu, lima pemuda dilaporkan diculik oleh tentera rejim di kem Balata.
Di Nablus, tentera rejim turut menyerbu kawasan Sheikh Munis dan kampung Kafr Qallil, serta melakukan pemeriksaan di beberapa rumah sebelum menculik seorang pemuda.
Tentera rejim Zionis Israel juga menyerbu kem pelarian al-Ein di barat Nablus, di mana beberapa rumah digeledah dan seorang pemuda diculik.
Dua lagi penduduk termasuk seorang profesor universiti ditahan dalam serbuan di kawasan al-Maajin, bandar Nablus.
Sementara itu, di Jenin, tentera Israel menyerbu bandar Kafr Dan, memeriksa rumah-rumah dan menculik sejumlah penduduk yang tidak diketahui jumlahnya.
Di utara Baitulmuqaddis, polis Israel menculik seorang pemuda bersama ibunya dari rumah mereka di kem pelarian Qalandia.

0 Ulasan