Berikut adalah hantaran Facebook Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari hari ini:
Saya menyaksikan sendiri jawapan YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat hari ini 4 Februari 2026. Terus terang, saya masuk dewan dengan satu harapan yang sangat mudah. Perdana Menteri akan berdiri dengan tegas dan berkata tanpa berbelit bahawa angka 5,207 hektar itu tidak benar, tidak wujud dan hanyalah dongeng semata mata.
Lebih lebih lagi selepas penafian keras beliau minggu lalu selepas solat Jumaat apabila isu ini disebut sebagai satu pembohongan dan fitnah. Nada ketika itu cukup tegas dan cukup berprinsip. Seolah olah sesiapa yang membangkitkan angka itu sedang menyebarkan cerita bohong, malah dibayangkan menggunakan nama agama untuk menimbulkan fitnah.
Tetapi hari ini selepas cuti Thaipusam nada itu berubah. Bukan lagi dongeng. Bukan lagi fitnah jahat. Tiba-tiba naratif bertukar menjadi kawasan 5,207 hektar itu bukan milik mana-mana negara kerana ia kawasan rundingan yang belum dimuktamadkan sejak dahulu.
Jadi sekarang ini apa sebenarnya. Minggu lepas ia digambarkan seperti cerita rekaan. Hari ini ia wujud cuma dikatakan bukan wilayah sesiapa. Esok lusa mungkin kita akan diberitahu ia memang wujud cuma kita tidak pernah rasa ia milik kita. Lama-lama rakyat pula yang terasa seperti kita ini duduk di negara khayalan.
Dalam isu sempadan negara, istilah bukan milik sesiapa bukan ayat yang menenangkan. Itu ayat yang menakutkan. Sejarah dunia menunjukkan banyak wilayah hilang bukan kerana perang tetapi kerana ayat ayat lembut seperti inilah. Kawasan yang tidak pernah dituntut, tidak jelas, masih rundingan, akhirnya menjadi milik orang lain secara rasmi dan kita hanya tinggal kenyataan media untuk dikenang. Jika ia bukan milik sesiapa, siapa yang mentadbirnya selama ini? Bukankah ia asas penting dalam rundingan?
Perdana Menteri juga menegaskan bahawa Malaysia tidak menyerahkan tanah sebagai pampasan. Baik, kita terima. Tetapi pada masa yang sama disebut pula akan ada rundingan secara baik mengenai isu pampasan tanah. Ini istilah paling ajaib dalam episod ini. Kalau tiada konsep pampasan kenapa wujud istilah pampasan. Pampasan kepada siapa, untuk apa dan dalam bentuk apa. Atau ini jenis pampasan yang tidak boleh dipanggil pampasan tetapi semua orang faham ia sebenarnya pampasan.
Lebih menarik, kerajaan menekankan bahawa kawasan itu belum dimuktamadkan sempadannya sejak sekian lama. Tetapi dalam masa yang sama ada memorandum persefahaman yang sudah ditandatangani, ada angka keluasan yang disebut secara spesifik oleh pihak Indonesia dan ada titik sempadan yang dirujuk satu persatu. Kalau semuanya masih kabur kenapa angka mereka begitu terang.
Yang rakyat persoalkan bukan retorik serah atau tidak serah. Rakyat tanya soalan yang sangat lurus. Adakah hasil rundingan terbaru ini menyebabkan kawasan yang sebelum ini berada dalam zon tuntutan atau pengaruh Malaysia kini diiktiraf berada di bawah pentadbiran Indonesia. Kalau jawapannya ya maka itu perubahan jajaran. Dalam bahasa mudah orang kampung itu bermakna peta kita berubah. Tidak kisahlah mahu dipanggil selaras atau harmonikan, tanah tetap berpindah dari satu warna ke warna lain atas peta.
Yang paling mengecewakan ialah pendekatan percayalah cakap kami. Ini bukan projek perumahan dan bukan dasar subsidi. Ini sempadan negara. Selepas 45 tahun rundingan Parlimen masih belum diberi peta penuh sebelum dan selepas, belum didedahkan asas koordinat yang digunakan dan belum dibentangkan justifikasi terperinci berdasarkan perjanjian lama. Kita diminta yakin tetapi tidak dibekalkan bahan untuk menyemak.
Kita semua mahu hubungan baik dengan Indonesia. Tiada siapa mahu ketegangan. Tetapi diplomasi yang baik tidak memerlukan rakyat menjadi penonton yang gelap maklumat. Kedaulatan bukan perkara yang boleh dijelaskan dengan ayat umum seperti itu bukan milik sesiapa sebelum ini. Kerana hari ini bukan milik sesiapa, esok boleh jadi milik orang lain secara rasmi dan kita hanya diminta berpuas hati kerana kononnya ia penyelesaian harmoni.
Sebab itu isu 5,207 hektar ini terus mengelirukan. Minggu lepas ia disebut fitnah. Hari ini ia diakui wujud cuma dikatakan tidak pernah menjadi milik mana mana negara. Rakyat bukan keliru kerana tidak faham diplomasi. Rakyat keliru kerana cerita berubah-ubah.
Dalam soal sempadan satu sahaja yang rakyat mahu dengar dengan jelas dan konsisten. Malaysia tidak kehilangan apa-apa. Tidak satu inci. Tidak dulu dan tidak sekarang. Selagi ayat itu tidak dapat disebut dengan yakin berserta bukti peta dan dokumen selagi itulah jawapan yang diberi akan terus dilihat bukan sebagai penjelasan tetapi sebagai satu lagi episod mengurus persepsi.
Sekian perbahasan saya di dalam FB, kerana tadi tidak dibenarkan perbahasan atas alasan kesuntukan masa.

0 Ulasan