SKMM berjaya tumpaskan BTS palsu

 

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) melalui satu operasi bersepadu telah berjaya mengesan serta menumpaskan aktiviti pemancaran stesen pangkalan (BTS) palsu di Genting Highlands, baru-baru ini.

Menurut SKMM, kejayaan operasi itu adalah hasil pemantauan teknikal dan analisis rangkaian berterusan oleh SKMM yang mengenal pasti gangguan perkhidmatan komunikasi serta penyebaran SMS berunsur penipuan kepada pengguna. 

Katanya, berdasarkan risikan teknikal tersebut, satu operasi lapangan telah dirancang dan dilaksanakan secara bersepadu bersama sebuah syarikat telekomunikasi.

"Pada 19 Januari 2026, pasukan SKMM berjaya mengesan dua buah kenderaan yang digunakan untuk menjalankan aktiviti pemancaran BTS palsu. 

"Pemeriksaan di lokasi mengesahkan berlakunya pemintasan rangkaian telekomunikasi yang dipercayai digunakan untuk menghantar SMS berunsur penipuan kepada mangsa, sekali gus membuktikan aktiviti tersebut dijalankan secara terancang," katanya dalam kenyataan media semalam.

SKMM berkata, peralatan BTS palsu dan peranti kawalan telah dirampas bagi tujuan siasatan lanjut. 

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 239(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] serta Peraturan 16(1)(b), Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000.

"Bagi kesalahan di bawah Seksyen 239 Akta 588, seseorang yang disabitkan kesalahan boleh didenda sehingga RM1,000,000 atau dipenjarakan sehingga 10 tahun atau kedua-duanya sekali. 

"Manakala bagi kesalahan di bawah Peraturan 16, Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000, pelaku boleh didenda maksimum RM300,000 atau dipenjarakan sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya sekali," jelasnya.

SKMM menegaskan pihaknya tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang bentuk penyalahgunaan rangkaian komunikasi yang boleh menjejaskan keselamatan awam dan integriti sistem telekomunikasi negara. 

Katanya, tindakan penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan bagi memastikan rangkaian komunikasi negara kekal selamat dan terpelihara.

BACA LAGI







Catat Ulasan

0 Ulasan