ADUN DAP degil bahas isu larangan ternak babi di Selangor

 

Dua hari selepas Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa dukacita atas kedegilan pihak tertentu membangkitkan isu larangan ternak babi, seorang wakil rakyat DAP mencetuskan kontroversi apabila mendakwa isu tersebut menyentuh hak kesamarataan warganegara.

ADUN Seri Kembangan, Wong Siew Ki cuba menegakkan benang basah bagi mewajarkan usahanya memohon pertimbangan supaya penternakan babi dibenarkan di Selangor.

“Mengenai isu penternakan babi, dalam titah ucapan Tuanku, Seri Kembangan memohon ‘Ampun Tuanku’ menyembah bahawa isu ini menyentuh hak kesamarataan warganegara yang terjamin di bawah Perkara 8(2) Perlembagaan Persekutuan.

“Pertenakan babi tidak seharusnya dibezakan dengan penternakan haiwan yang lain.

“Risiko pencemaran, aspek kebersihan serta kesihatan dalam penternakan babi adalah sama seperti penternakan haiwan yang lain,” katanya ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah Sultan Selangor dalam sidang DUN Selangor di Shah Alam pada 22 April 2026.

Menurut beliau, isu babi dijadikan sebagai isu politik yang dimainkan pelbagai pihak termasuk ahli politik. 

Terdahulu, Sultan Sharafuddin menzahirkan dukacita berikutan sikap segelintir pihak yang seolah-olah masih tidak berpuas hati dan enggan mematuhi titah baginda berhubung larangan penternakan babi di negeri tersebut.

Titah baginda, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira pelbagai faktor termasuk kekangan tanah tidak mencukupi, pencemaran alam serta kedudukan ladang ternakan yang berada di kawasan penempatan penduduk padat dengan umat Islam.

“Baru-baru ini, beta telah menitahkan agar ternakan babi tidak diadakan di negeri Selangor. 

"Namun demikian masih terdengar rungutan dari beberapa pihak yang seolah-olah tidak berpuas-hati dan enggan untuk mematuhi titah beta,” titah baginda pada Istiadat Mesyuarat Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor ke-15 di Dewan Negeri Selangor di Shah Alam pada 20 April 2026.

Sultan Sharafuddin bertitah, isu pencemaran sungai dan udara turut menjadi faktor penternakan babi tidak sesuai diteruskan di Selangor.

Baginda menitahkan agar isu tersebut diselesaikan dengan mengimport daging babi dari luar Selangor terutamanya dari Sarawak untuk bekalan kaum bukan Islam yang memerlukannya.

BACA LAGI







Catat Ulasan

0 Ulasan