Berikut adalah kenyataan media Ketua Pemuda UMNO Selangor, Datuk Mohd. Imran Tamrin pada 23 April 2026:
1. Pertamanya Patik dan seluruh kepimpinan Badan Perhubungan Pemuda UMNO Negeri Selangor, Menjunjung Kasih Titah Ucapan DYMM Tuanku Sultan Selangor di Istiadat Mesyuarat Pertama Pembukaan Persidangan Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Yang Ke-15 Tahun 2026 pada 20.04.2026. Titah Ucapan DYMM Sultan Selangor penuh serta padat dengan pandangan, nasihat peringatan serta syor yang menyeluruh dalam semua aspek termasuk pembangunan, tadbir urus, dan lebih lagi isu-isu berkepentingan untuk Rakyat Selangor.
2. Pemuda UMNO Selangor mengecam tegas konteks ucapan perbahasan YB ADN Seri Kembangan pada Sesi Pagi Persidangan Dewan Negeri Selangor semalam 22.04.2026, yang menyentuh dan membangkitkan isu ternakan babi termasuk membuat perbandingan hak kesamarataan di bawah Perkara 8(2) Perlembagaan Persekutuan. Pemahaman dan hujahan perbahasan beliau adalah meleset seterusnya gagal memahami secara menyuluruh struktur kedudukan undang-undang termasuk tidak merujuk kedudukan dan peranan DYMM Sultan Selangor sepertimana yang termaktub dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959.
3. Lebih membimbangkan lagi biadab, konteks ucapan beliau juga seolah-olah mencabar serta mempertikaikan Titah DYMM Sultan Selangor berkenaan isu penternakan babi seterusnya memberi gambaran bahawa beliau tidak berpuas hati dan terus membangkitkan isu berkaitan ternakan babi yang boleh menyinggung institusi diraja Selangor.
“Beta telah menitahkan agar ternakan babi tidak diadakan di negeri Selangor. Namun demikian masih ada rungutan dari beberapa pihak yang seolah-olah tidak berpuas hati dan enggan untuk mematuhi titah Beta. Beta telah memberikan faktor-faktor kenapa ternakan babi tidak sesuai di negeri Selangor.”
Jelas dalam Titah Ucapan DYMM Sultan Selangor secara tegas tidak mahu ternakan babi diadakan di negeri Selangor.
4. Pemuda UMNO Selangor juga telah mengambil maklum tindakan dan keputusan Kerajaan Negeri Selangor sejurus Titah DYMM Sultan Selangor sebelum ini berkenaan isu ladang babi melalui pengumuman yang dibuat oleh YAB Dato’ Menteri Besar pada 26.01.2026 yang membatalkan Projek Ternakan Babi di Bukit Tagar, seterusnya pada 12.02.2026 Kerajaan Selangor mengumumkan pemberhentian lesen ternakan babi dan menutup ladang-ladang babi di negeri Selangor selaras dengan Titah DYMM Sultan Selangor.
5. Oleh yang demikian, Pemuda UMNO Selangor berpendirian bahawa adalah suatu yang janggal dan tidak bertanggungjawab kepada YB ADN Seri Kembangan yang mewakili DAP dan sebahagian daripada ADN Kerajaan, mempunyai pendirian yang berbeza. Apa lagi membangkitkan isu babi ini dalam perbahasan Menjunjung Kasih Titah Ucapan DYMM Sultan Selangor.
6. Pemuda UMNO Negeri Selangor menggesa dan mendesak secara tegas agar YB ADN Seri Kembangan segera menarik balik kenyataan dan isi kandungan ucapan perbahasan beliau pada sesi persidangan hari ini 23.04.2026. Sekiranya beliau enggan dan/atau gagal berbuat demikian, kami percaya bahawa selaras dengan Peraturan Tetap 70(3), YB ADN Seri Kembangan perlu dirujuk ke Jawatankuasa Hak & Kebebasan Dewan Negeri Selangor. Beliau juga perlu diberi peringatan dan pengajaran serta tindakan tegas daripada Kerajaan/Backbenchers atas tindakan beliau yang tidak bertanggungjawab dan biadap tersebut.
7. Akhir sekali perkara seperti ini tidak wajar berlaku di dalam sebuah negeri yang dinaungi oleh Sultan dan Institusi Raja Melayu yang mempunyai kedudukan serta peranan penting yang dijamin oleh Perlembagaan dan Undang-Undang.

0 Ulasan