Berikut adalah kenyataan media Ketua Penerangan UMNO Selangor, Datuk Dr. Mohd. Zaidi Md. Zain:
UMNO Selangor memandang serius kenyataan ADUN Seri Kembangan daripada DAP yang mencadangkan supaya penternakan babi dibenarkan semula di negeri ini.
Tatkala rakyat sedang bergelut dengan kos sara hidup, isu banjir, kesesakan lalu lintas, peluang pekerjaan dan pelbagai tekanan harian, ada pula wakil rakyat yang memilih untuk menghidupkan semula polemik lama yang sudah diputuskan demi kepentingan negeri.
Lebih mengecewakan, perkara ini dibangkitkan sedangkan pendirian Selangor telah pun jelas. Titah Tuanku Sultan Selangor mengenai perkara ini bukan kenyataan samar-samar yang boleh ditafsir sesuka hati. Ia jelas, tegas dan mengambil kira pelbagai pertimbangan termasuk kesihatan awam, pencemaran alam sekitar, kekangan tanah serta keharmonian masyarakat majmuk.
Soalnya mudah, mengapa masih mahu membuka semula isu yang telah ditutup dengan pertimbangan menyeluruh?
Adakah kerana ketandusan idea?
Atau kerana terlalu ghairah bermain politik sehingga lupa adab dalam negeri beraja?
Janganlah setiap perkara mahu dibalut dengan istilah teknikal kononnya moden, seolah-olah teknologi boleh memadam sensitiviti masyarakat dan mengatasi kebijaksanaan keputusan yang telah dibuat.
Selangor bukan makmal ujikaji politik sesiapa.
Wakil rakyat sepatutnya membawa cadangan yang menyelesaikan masalah rakyat, bukan mencipta keresahan baru. Jika benar mahu memperjuangkan rakyat, bawa cadangan tentang harga rumah, peluang pekerjaan anak muda, tebatan banjir, pengangkutan awam dan kos hidup yang semakin menekan.
Itu isu rakyat.
Bukan isu yang hanya menguntungkan tajuk berita sehari dua.
UMNO Selangor ingin mengingatkan bahawa hormat kepada institusi Raja Berperlembagaan bukan pilihan bermusim. Ia asas kepada kestabilan negeri dan negara. Jangan bila sesuai dipuji, bila tidak sesuai dipertikai.
Kepada rakyat Selangor, bezakanlah siapa yang bekerja menyelesaikan masalah, dan siapa yang sibuk mencipta masalah.
Selangor perlukan kepimpinan matang, bukan politik provokasi.
Rakyat perlukan solusi, bukan sensasi.

0 Ulasan