Berikut adalah kenyataan media Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun pada 27 April 2026:
Saya mengambil maklum pengumuman oleh 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO yang telah menyatakan penarikan sokongan terhadap Kerajaan Negeri. Sehubungan itu, saya telah mempersembahkan pemakluman kepada DYMM Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan berhubung kedudukan terkini berhubung penarikan sokongan tersebut.
Setelah melalui pertimbangan sewajarnya, DYMM Tuanku Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan telah menasihati dan menitahkan, agar saya meneruskan tanggungjawab mentadbir sebagai Menteri Besar seperti biasa, selagi belum terdapat kejelasan muktamad mengenai perkara ini, selaras dengan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959.
Kerajaan Negeri akan terus berfungsi seperti biasa, dalam memastikan urusan pentadbiran berjalan lancar serta kepentingan rakyat Negeri Sembilan terus terpelihara. Segala tindakan seterusnya akan dilaksanakan mengikut lunas Perlembagaan dan undang-undang yang berkuat kuasa. Ini termasuklah usaha untuk meleraikan tindakan Dato’-Dato’ Undang yang ingin menurunkan takhta DYMM Tuanku Muhriz, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
Sebelum ini, saya juga telah mengeluarkan kenyataan media pada 20 April 2026 bahawa tindakan Dato’ Mubarak bin Dohak yang menandatangani dan membacakan pengisytiharan menurunkan DYMM Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir pada 19 April 2026 bertempat di Balai Undang Luak Sungai Ujong, tidak boleh diterima dan tidak diiktiraf oleh Kerajaan Negeri kerana beliau tidak lagi mempunyai kuasa dan fungsi sebagai Undang Luak Sungei yang Ujong, selain tidak selaras dengan Perkara 10 hingga 12, UUTKNS 1959.
Dalam hal penurunan takhta DYMM Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, UUTKNS memperuntukkan dua (2) tatacara iaitu, sama ada penurunan secara sukarela (voluntary abdication) di mana asas dan tatacara penurunan takhta diperuntukkan di bawah Perkara 9 UUTKNS. Selain itu, DYMM Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan boleh juga diturunkan takhta atau menarik diri secara sementara, atas kehendak Dato’-Dato’ Undang di mana asas dan tatacara penurunan takhta ini diperuntukkan di bawah Perkara 10 UUTKNS seperti berikut:
“X. (1) If it is considered and determined after full and complete enquiry by the Undangs that his Highness after His appointment as Yang di-Pertuan Besar has developed any great and serious defect deragotary to the qualities of a Yang di-Pertuan Besar such as insanity, blindness, dumbness or has become possessed of any base quality on account of which He would not be permitted by the Hukum Syarak to be Yang di-Pertuan Besar or that His Highness has done any overt act detrimental to the sanctity, honour and dignity of a Yang di-Pertuan Besar or has deliberately disregarded the provisions of this Constitution, the Undangs may call upon Him-“
(a) To withdraw from performing His duties for a period to be determined by the Undangs; or
(b) To abdicate and relinquish His prerogatives, rights, powers and privileges.
(2) On being called upon to withdraw from performing His duties as aforesaid, His Highness shall cease to exercise the functions and powers of Ruler of the State for the period so determined and during such period, a Regent or a Council of Regency appointed in the manner hereinafter provided shall exercise such functions or powers on being called upon to abdicate, He shall thereupon cease to be Yang di-Pertuan Besar:
Provided that as soon as possible thereafter a proclamation to that effect shall be issued under the hands of the Undangs and the Menteri Besar.”
Berdasarkan peruntukan di atas, adalah jelas Dato’-Dato’ Undang mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan supaya DYMM Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan diturunkan takhta sama ada bagi suatu tempoh sementara atau secara terus. Namun, Perkara 10 turut memperuntukkan tatacara dan asas-asas pertimbangan sebelum Dato-Dato Undang boleh membuat keputusan. Yang pertamanya harus diadakan “full and complete enquiry”.
Frasa full and complete enquiry ini, tidak diberikan takrifan atau diperjelaskan secara terperinci di dalam UUTKNS. Namun, secara amnya dari segi perundangan ia adalah proses yang perlu mematuhi asas rule of natural justice. Apa yang perlu diutamakan ialah ianya perlu dimulakan dengan tuduhan atas dasar prima facie untuk dijawab. Secara prinsipnya, suatu siasatan (enquiry) akan melibatkan suatu proses penyiasatan dan pengumpulan maklumat bagi mengenal pasti fakta, punca, kesan serta hubung kait yang berkaitan.
Berdasarkan perkara-perkara di atas, walaupun kuasa telah diberi kepada Dato’-Dato’ Undang untuk menentukan kelayakan seseorang DYMM Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan untuk terus memegang jawatan berkenaan, mereka seharusnya memulakan proses melalui suatu “full and complete enquiry” yang telus dan tidak berat sebelah kepada mana-mana pihak (independent). Akhirnya, walaupun peruntukan UUTKNS menyebut “…full and complete enquiry by the Undangs…”, sewajarnya keputusan Dato’-Dato’ Undang hendaklah berpandu dan berasaskan dapatan dan syor badan bebas yang telah dilantik, untuk mereka membuat pertimbangan dan penentuan terhadap beberapa faktor yang disenaraikan di bawah Perkara 10, UUTKNS 1959, iaitu:
(i) Baginda, selepas pelantikannya sebagai DYMM Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, telah mendapat keuzuran yang amat parah sehingga mencacatkan kelayakan baginda sebagai DYMM Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan seperti gila, buta atau bisu, atau;
(ii) Baginda telah mempunyai sifat yang hina yang boleh menyebabkan baginda tertegah oleh hukum Syarak daripada menjadi DYMM Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan; atau
(iii) Baginda telah melakukan perbuatan yang keji atas kesucian, kehormatan dan kebesaran seorang Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan; atau
(iv) Baginda telah dengan sengaja tidak mengendahkan syarat-syarat Perlembagaan ini.
Hanya apabila keperluan ini dipenuhi, Dato’-Dato’ Undang boleh memanggil baginda sama ada untuk menarik diri daripada menjalankan tugas baginda bagi tempoh yang ditentukan atau untuk turun takhta dan melepaskan hak prerogatif, hak-hak, kuasa, dan keistimewaannya [Perkara 10(2)]. Dalam salah satu daripada dua (2) keadaan ini, baginda “hendaklah dengan serta-merta terhenti” daripada menjadi Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan. Setelah semua proses ini dilalui, UUTKNS 1959 memperuntukkan satu proklamasi hendaklah dikeluarkan di bawah tandatangan Dato’-Dato’ Undang dan juga Menteri Besar. Ini adalah proviso penting yang menghubungkan kuasa Dato’-Dato’ Undang dengan Pihak Berkuasa Negeri yang diwakili oleh Menteri Besar. Oleh itu, secara Perlembagaan, adalah jelas bahawa sehingga proklamasi itu disempurnakan, keputusan Dato’-Dato’ Undang dalam menurunkan baginda daripada takhta, tidak akan berkuat kuasa.
Maka, keseluruhan isu ini secara substantifnya adalah merupakan perkara-perkara yang disentuh di bawah undang-undang Perlembagaan, terutamanya yang termaktub di dalam UUTKNS 1959.
Justeru, pengisytiharan pemecatan DYMM Tuanku Mukhriz adalah tidak berasas dan tidak dinyatakan dengan jelas, akan proses dan tatacara yang telah dilaksanakan oleh Dato’-Dato’ Undang tersebut semasa pengumuman tersebut dibuat. Oleh yang demikian, Kerajaan Negeri telah mengambil keputusan untuk tidak menerima pengumuman tersebut, demi memelihara keharmonian dan kesejahteraan rakyat Negeri Sembilan secara keseluruhannya.

0 Ulasan