Jangan sewenang-wenang tuduh UMNO NS derhaka!

 

Berikut adalah kenyataan media Pemuda UMNO Negeri Sembilan pada 16 Mei 2024:

Pemuda UMNO Negeri Sembilan memandang serius siri kenyataan yang dikeluarkan oleh Datuk Seri Megat D Shahriman melalui Sekretariat Taat Setia Sokongan DYMM Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan sejak 3 Mei 2026 sehingga kenyataan terbaharu pada 14 Mei 2026.

Kenyataan-kenyataan tersebut bukan sahaja dilihat bersifat emosional dan bermotif politik, malah secara konsisten cuba membentuk persepsi bahawa UMNO Negeri Sembilan kononnya telah “menderhaka” kepada DYMM Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan. Tuduhan sebesar itu tidak boleh dibuat sewenang-wenangnya tanpa sebarang asas fakta, peruntukan undang-undang mahupun pendirian rasmi pihak Istana.

Sehingga hari ini, tiada sebarang kenyataan rasmi daripada pihak Istana yang menyatakan UMNO Negeri Sembilan melakukan penderhakaan seperti didakwa. Persoalannya, atas kapasiti apakah Sekretariat ini bercakap seolah-olah menjadi jurucakap rasmi kepada DYMM Tuanku?

Lebih membimbangkan apabila nama DYMM Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan digunakan secara berterusan dalam satu gerakan yang jelas bernada politik kepartian, menyerang parti politik tertentu serta mengajak rakyat menghukum lawan politik di peti undi.

Institusi Diraja mesti dihormati dan dipertahankan daripada sebarang cubaan eksploitasi politik. Kesetiaan kepada Raja tidak boleh dimonopoli oleh mana-mana kelompok, apatah lagi dijadikan alat untuk melabel pihak lain sebagai “penderhaka” hanya kerana perbezaan pandangan politik.

Pemuda UMNO Negeri Sembilan turut ingin mengingatkan bahawa sebelum ini kami telah membangkitkan beberapa persoalan serius berkaitan kegagalan pentadbiran Menteri Besar Negeri Sembilan dalam mengurus isu yang melibatkan adat serta sensitiviti negeri. Malangnya, sehingga hari ini persoalan tersebut masih gagal dijawab secara tuntas. Sebaliknya, perhatian rakyat cuba dialihkan melalui permainan sentimen dan tuduhan beremosi.

Kami percaya rakyat Negeri Sembilan cukup matang untuk menilai siapa yang benar-benar mempertahankan Institusi Diraja secara berhemah dan siapa yang sedang menggunakan nama DYMM Tuanku sebagai perisai politik untuk menyerang pihak lawan.

Sekiranya gerakan ini benar-benar bebas dan ikhlas mempertahankan institusi negeri, maka rakyat berhak mengetahui beberapa perkara asas:

1. Apakah status sebenar Sekretariat ini?

2. Siapakah pihak yang membiayai serta menggerakkan mereka?

3. Adakah mereka mendapat mandat rasmi daripada pihak Istana untuk mengeluarkan kenyataan sedemikian?

4. Mengapa mereka secara konsisten menyerang parti politik tertentu tetapi gagal menjawab isu pokok yang dibangkitkan?

Pemuda UMNO Negeri Sembilan menegaskan bahawa mempertahankan Institusi Diraja tidak bermaksud membenarkan mana-mana pihak mempergunakan nama DYMM Tuanku demi kepentingan politik sempit.

Kami akan terus mempertahankan Raja Berperlembagaan, Institusi Adat serta keharmonian negeri ini secara matang, bertanggungjawab dan berlandaskan fakta — bukannya melalui budaya tuduh-menuduh serta menghukum sesiapa sahaja yang tidak sehaluan sebagai penderhaka.

Institusi Raja wajib dijunjung tinggi. Justeru, institusi tersebut juga mesti dipelihara daripada diperalatkan oleh mana-mana pihak berkepentingan politik.

BACA LAGI







Catat Ulasan

0 Ulasan