BN akur tiada Himpunan Solidariti Najib, berdiri teguh bersama Zahid

 


Berikut adalah kenyataan media yang dikeluarkan oleh Ibu Pejabat Barisan Nasional (BN) hari ini:

Barisan Nasional menjunjung titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong berhubung kuasa prerogatif Baginda menurut Perkara 42(1) dan (2) untuk memberi ampun, tunda hukum, dan lega hukum bagi apa jua kesalahan yang dilakukan di dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.  

Justeru, Barisan Nasional akur dengan titah saran Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong agar semua pihak menghormati kuasa prerogatif Baginda untuk menggunakan saluran perundangan yang ditetapkan bagi mengemukakan proses permohonan rayuan terhadap Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak.  

Menjadi tradisi Barisan Nasional, apa jua kemusykilan yang dihadapi oleh seseorang pemimpin parti dan negara, termasuklah Dato’ Sri Mohd Najib, tetap tidak meleraikan hormat terhadap jasa dan pengorbanannya serta sumbangan yang besar. Maka Barisan Nasional tetap konsisten agar proses keadilan dan perundangan terhadap Dato’ Sri Mohd Najib dilaksanakan dengan setulusnya.  

Barisan Nasional menempelak golongan oportunis yang cuba menangguk di air keruh dalam isu Dato’ Sri Mohd Najib. Ia adalah langkah tidak bermoral menggunakan kesengsaraan Dato’ Sri Mohd Najib yang pernah dihina dan difitnah di pentas propaganda politik mereka sendiri, dan kini mereka mahu menggunakan peluang untuk membina momentum bagi mencapai matlamat politik mereka.  

Menyepakati semangat bersama dalam Barisan Nasional adalah dimaklumkan bahawa tiada perhimpunan dianjurkan di Istana Kehakiman Putrajaya pada tanggal 6hb Januari. Barisan Nasional menghargai segala usaha-usaha solat hajat, doa serta munajat yang dilakukan oleh seluruh komponen untuk Dato’ Sri Mohd Najib.  

Barisan Nasional berdiri teguh bersama Pengerusi BN, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika mengemudi Barisan Nasional dalam menghadapi keadaan ini demi memelihara prinsip ketaatan kepada institusi Raja, kestabilan negara, dan perpaduan rakyat serta keteguhan parti.  


BACA LAGI






Catat Ulasan

0 Ulasan