Berikut adalah kenyataan media Ketua Pemuda MCA Pahang, Wong Siew Mun hari ini:
Semalam media tempatan banyak melaporkan tentang Peguam Negara (AG), Datuk Mohd. Dusuki Mokhtar yang telah mendapat kebenaran Mahkamah Persekutuan untuk merayu keputusan majoriti Mahkamah Rayuan melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mencabar Titah Adendum, sekali gus menimbulkan pelbagai persoalan dalam kalangan rakyat.
Ini kerana, pada 4 Januari 2025, Istana Pahang telah mengeluarkan surat rasmi yang mengesahkan bahawa Yang di-Pertuan Agong ke-16, Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah menitahkan supaya Najib menjalani baki hukuman penjara melalui tahanan rumah (house arrest) menerusi titah adendum bertarikh 29 Januari 2024.
Surat tersebut ditujukan kepada anak Najib, Datuk Mohd Nizar, dan ditandatangani oleh Pengelola Bijaya Diraja Sultan Pahang, Datuk Ahmad Khirrizal Abdul Rahman.
Namun, mengapa titah tersebut tidak dilaksanakan? Adakah wujud tangan ghaib yang sengaja mahu melengah-lengahkan masa, dengan menafikan keadilan dan hak Najib sebagai warganegara yang dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan?
Adakah tindakan AG ini boleh dianggap biadab dan menderhaka titah?
Isu Titah Adendum ini seharusnya diselesaikan secara telus tambahan ia melibatkan Titah Diraja selain dapat menepis persepsi rakyat bahawa sistem kehakiman negara ini tidak adil dan dipengaruhi oleh tangan-tangan politik.

0 Ulasan