UMNO tak angkat DAP sebagai pembela agenda Melayu Islam

 


UMNO tidak pernah menafikan sejarah perbezaan politik yang ketara dengan DAP malah kedua-dua parti itu pernah bertembung ideologi dan prinsip. 

Namun, Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, politik bukan sesuatu yang kaku dan ia berkembang mengikut realiti dan keperluan semasa rakyat dan negara.

Menurut beliau, keputusan UMNO untuk bekerjasama dalam Kerajaan Perpaduan adalah langkah realpolitik demi menyelamatkan Malaysia daripada krisis yang lebih besar iaitu ketidaktentuan ekonomi, ketidakstabilan politik dan masa depan rakyat yang terancam.

"Kita tidak mengangkat DAP sebagai pembela agenda Melayu atau Islam. 

"Sebaliknya, kita berada dalam kerajaan untuk memastikan suara UMNO dan umat Melayu Islam terus didengar dan dimartabatkan. 

"Sejarah tidak pernah kita lupakan, tetapi kita juga tidak boleh terus diperhambakan oleh dendam politik silam," katanya dalam kenyataan media kelmarin.

Jalaluddin menambah, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan barisan pimpinan lain berpegang pada prinsip bahawa kestabilan negara adalah keutamaan.

Beliau memberitahu, keberanian mereka mengemudi parti kembali ke arus perdana bukan kerana nafsu kuasa, tetapi kerana keyakinan bahawa UMNO harus berada dalam kerajaan untuk memastikan dasar-dasar yang mengangkat Melayu, bumiputera dan Islam dapat dilaksanakan.

"Kepada pihak yang masih terperangkap dalam naratif lama, kita tanya sampai bila kita mahu berpolitik dengan kebencian dan retorik lampau? 

"Jika benar kita memperjuangkan agama, bangsa dan tanah air, maka tempat terbaik untuk kita berbakti adalah dalam kerajaan, bukan dari luar dengan hanya membaling tuduhan," katanya.

Jalaluddin berkata, naratif kononnya “UMNO mensucikan DAP” adalah perang psikologi murahan kerana hakikatnya, UMNO tidak tunduk. 

Menurut beliau, UMNO sedang memimpin perubahan dan memilih jalan yang terbaik untuk rakyat dan masa depan negara.

"Bukan kerana DAP, tetapi kerana tanggungjawab kepada bangsa dan tanah air," jelasnya..

Katanya, UMNO Negeri Sembilan berdiri teguh di belakang kepimpinan parti dan akan terus memperjuangkan hak serta kepentingan rakyat dalam Kerajaan Perpaduan. 

"Kita tidak akan gentar dengan tekanan politik yang cuba memecah-belahkan kesatuan ini," tegasnya.





Catat Ulasan

0 Ulasan