Berikut adalah hantaran Facebook Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini:
Pagi tadi saya telah meluncurkan satu projek pembangunan yang amat dekat di hati saya yakni Kota MADANI di Presint 19, Putrajaya. Ia adalah sebuah kota yang bukan sahaja menyediakan perumahan mampu milik buat penjawat awam, tetapi juga merupakan cita kehidupan yang berteraskan nilai-nilai yang universal seperti iman, ihsan, inovasi dan kelestarian.
Daripada kemudahan asas seperti tadika di aras bawah ke masjid di hadapan, dari laluan pejalan kaki ke sekolah dan juga gimnasium serta ruang-ruang hijau, yang direncana dengan teliti bagi menyantuni kehidupan rakyat terbanyak. Kota ini bukan sekadar berbentuk fizikal, tetapi ia adalah falsafah dan cita-cita seperti yang diungkap pemikir dan pengembara ulung Ibn Khaldun bahawa kota ialah pusat umran hadhari, yakni tempat bertemunya idealisme, teknologi dan nilai.
Kita tidak mahu meneruskan budaya membina mercu serta gedung-gedung megah tanpa ruh. Yang kita gerakkan kini adalah bandar yang manusiawi, yang menyantuni rakyat terbanyak—dari warung sederhana hingga ke ruang tamu yang selesa buat anak-anak bangsa.
Ramai orang beranggapan dan berceloteh melulu bahawa ini seperti projek-projek gajah putih yang lain yang kini hanya tinggal nama. Justeru, seperti banyak bangunan-bangunan utama yang didirikan di Putrajaya, projek ini akan dibiayai secara usahasama Kerajaan-swasta (PPP). Pendekatan ini mengurangkan beban kewangan langsung Kerajaan dan mempercepat pelaksanaan projek. Ia bukan konsep baharu, tetapi ia berkonsep menambah baik, jauh sekali dibina ‘from scratch’ yang tentunya menelan belanja yang besar. Bezanya ia diangkat dengan ruh dan sifat manusiawi yang tinggi.
Jumlah dan kos RM4 bilion ini bukan untuk bermegah dan mendabik dada tetapi ia untuk sejumlah 10,000 keluarga. Tidak ada komisen, jauh sekali kebocoran dan ketirisan. Hanya iltizam dan tekad untuk mempercepat, mempermudah, menyempurnakan. Ia bukan projek peribadi Perdana Menteri, ia projek rakyat dan untuk masa depan bangsa.
0 Ulasan