Bersatu terima musibah akibat lahir melalui tipu muslihat - Puad

 


Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi mendakwa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sedang menerima musibah kerana ditubuhkan melalui tipu muslihat politik.

Menurut beliau, tindakan Pengerusi Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menyuarakan rasa kecewa terhadap Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dalam siri jelajah parti itu di Sabah menunjukkan ironi politik.

“Muhyiddin kata: Hajiji Ya Hajiji. Dia tipu saya. Dia tipu saya hidup-hidup. Sepatutnya dia tidak boleh marah. Bersatu Sabah sendiri lahir atas tipu muslihat politik,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.

Mohd. Puad berkata, ketika penubuhan Bersatu di Sabah, seramai sembilan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), empat Ahli Parlimen, dua senator dan 21 daripada 25 Ketua UMNO Bahagian melompat parti secara senyap untuk menyertai Bersatu.

Jelas beliau, tidak mengejutkan apabila mereka kini pula meninggalkan Bersatu untuk menubuhkan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Mengulas sejarah penubuhan UMNO Sabah, Mohd. Puad berkata, parti itu lahir secara sah dan terbuka pada 21 Februari 1991 apabila Presiden USNO, Tun Datu Mustapha Datu Harun bersama timbalan, naib-naib serta wakil 48 bahagian USNO dan 50,000 ahli menyerahkan borang menyertai UMNO.

“Almarhum Tun Mustapha kata, kami berpindah dari kapal kecil ke kapal besar. UMNO bermula suci apabila memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Usukan melalui Tun Mustapha pada Mei 1991,” ujarnya.

Sebaliknya, katanya, Bersatu bermula dengan cara tidak berintegriti apabila menerima ADUN UMNO yang melompat parti, sekali gus menjadikan asas penubuhannya tidak kukuh.

Tambah beliau, UMNO terus kekal kerana yang melompat hanyalah pemimpin atasan, sedangkan ahli di peringkat akar umbi kekal istiqamah.

“Sebaliknya Bersatu menggelupur bila Hajiji buat kapal baharu. Bersatu terkontang-kanting kerana ketiadaan pelapis, jentera akar umbi dan tokoh lokal berbisa,” katanya lagi.

Menurutnya, Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang akan datang berkemungkinan menjadi pengakhiran buat Bersatu yang kini ibarat kapal semakin kecil dan kehilangan arah.

“Itu musibah apabila parti lahir melalui tipu muslihat,” katanya.


BACA LAGI 


 

 

Catat Ulasan

0 Ulasan