![]() |
Gambar hiasan |
Jabatan Peguam Negara menegaskan bahawa hak kepada setiap warganegara untuk bercakap dan bersuara, serta hak untuk berhimpun secara aman dan tanpa senjata adalah dijamin oleh Perlembagaan, namun hak-hak tersebut tidak bersifat mutlak.
Dalam satu kenyataan hari ini, jabatan itu merujuk kepada kenyataan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berhubung larangan terhadap penyertaan pegawai awam dalam satu perhimpunan yang dijadualkan berlangsung di Kuala Lumpur pada 26 Julai ini.
“Dalam hal ini, seseorang pegawai awam adalah tertakluk kepada Surat Aku Janji sebagaimana yang diperuntukkan dalam subperaturan 20(3) Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Pelantikan, Kenaikan Pangkat dan Penamatan Perkhidmatan) 2012 \[P.U. (A) 1/2012].
“Berdasarkan Surat Aku Janji tersebut, setiap pegawai awam bertanggungjawab mematuhi segala peraturan, termasuk Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 \[P.U. (A) 395/1993], Perintah-Perintah Am, pekeliling, surat pekeliling, peraturan dan arahan lain yang dikeluarkan oleh Kerajaan dari semasa ke semasa sepanjang tempoh perkhidmatannya dengan Kerajaan,” katanya.
Menurut jabatan itu lagi, berdasarkan P.U. (A) 1/2012 dan P.U. (A) 395/1993, seseorang pegawai awam, antara lain, hendaklah:
(a) pada setiap masa memberikan taat setianya kepada Yang di-Pertuan Agong, negara dan kerajaan;
(b) tidak berkelakuan dengan cara yang boleh memburukkan atau mencemarkan nama perkhidmatan awam; dan
(c) tidak boleh membuat apa-apa pernyataan awam yang boleh memalukan atau memburukkan nama kerajaan.
Sehubungan itu, sebarang kegagalan mematuhi ketetapan yang dinyatakan boleh menyebabkan tindakan tatatertib diambil ke atas pegawai awam terbabit.
“Sehubungan dengan itu, sebarang kegagalan mematuhi P.U. (A) 1/2012, P.U. (A) 395/1993, Perintah-Perintah Am, pekeliling, surat pekeliling, peraturan dan arahan lain yang dikeluarkan oleh kerajaan boleh menyebabkan tindakan tatatertib diambil ke atas pegawai awam di bawah P.U. (A) 395/1993,” jelas kenyataan itu.
Jabatan tersebut turut menegaskan bahawa Perkara 10(1)(a) dan 10(1)(b) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan hak kepada setiap warganegara untuk bercakap dan bersuara, serta berhimpun secara aman, namun tertakluk kepada undang-undang dan arahan pihak berkuasa.
“Jabatan ini juga ingin menegaskan bahawa meskipun Perkara 10(1)(a) dan 10(1)(b) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan hak kepada setiap warganegara untuk bercakap dan bersuara, serta hak untuk berhimpun secara aman dan tanpa senjata, namun hak-hak tersebut adalah tidak bersifat mutlak.
“Selaras dengan itu, sebarang perhimpunan awam juga tertakluk kepada keperluan mematuhi undang-undang sedia ada termasuk arahan khusus yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa termasuk arahan oleh KSN kepada penjawat awam,” katanya.
0 Ulasan