PAS anggap cadangan lantik Nick Adams sebagai duta satu penghinaan

 

PAS menganggap cadangan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump untuk melantik Nick Adams sebagai Duta Besar ke Malaysia sebagai satu penghinaan terhadap kedaulatan negara serta sensitiviti rakyat yang berbilang kaum dan agama.

Pengerusi Lajnah Antarabangsa PAS, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, Malaysia sebagai sebuah negara berdaulat memiliki hak penuh untuk menolak mana-mana calon duta asing yang tidak sesuai dengan nilai dan kepentingan negara.

Menurut beliau, Artikel 4(1) Konvensyen Vienna Mengenai Hubungan Diplomatik 1961 memperuntukkan bahawa negara penerima tidak diwajibkan memberi sebab jika menolak pencalonan mana-mana duta.

“Ini bermaksud, Malaysia tidak terikat untuk memberikan sebarang penjelasan kepada AS sekiranya memutuskan untuk menolak pelantikan Adams sebagai duta. 

"Artikel ini memberikan kuasa penuh kepada negara penerima untuk menentukan kesesuaian seseorang calon duta asing,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Nick Adams bukan calon yang sesuai kerana sering membuat kenyataan kontroversi dan ekstrem yang bersifat perkauman, anti-Islam serta merendahkan martabat wanita.

“Adams merupakan individu yang telah membuat pelbagai kenyataan kontroversial dan melampau, termasuk kenyataan bersifat perkauman, anti-Islam, seksis, dan tidak menghormati perjuangan rakyat tertindas.

“Beliau pernah secara terbuka menyatakan kebanggaan kerana menyebabkan seorang pelayan dipecat hanya kerana memakai pin ‘Free Palestine’, serta mempromosikan budaya hiburan yang menjatuhkan maruah wanita,” katanya.

Muhammad Khalil menegaskan bahawa pencalonan itu bukan sahaja tidak menghormati nilai dan budaya tempatan, malah berisiko mencemarkan hubungan dua hala antara Malaysia dan AS.

“Pelantikan beliau jelas bercanggah dengan nilai-nilai Islam sebagai agama Persekutuan dan majoriti rakyat Malaysia, bertentangan dengan adat budaya ketimuran, serta mengabaikan sensitiviti masyarakat Malaysia yang berbilang kaum dan agama.

“Pelantikan ini seolah-olah satu penghinaan kepada Malaysia apabila seorang individu yang tiada latar belakang mahupun pengalaman dalam urusan diplomatik dihantar untuk mewakili sebuah kuasa besar ke negara kita yang mempunyai sejarah dan hubungan diplomatik yang penting dengan AS,” katanya.

Menurut beliau lagi, tindakan Trump itu bukan sahaja mengganggu keharmonian rakyat, tetapi juga memberi implikasi negatif kepada hubungan antarabangsa Malaysia.

“Pelantikan individu seperti ini bukan sahaja mengganggu sensitiviti masyarakat, tetapi juga berisiko merosakkan hubungan dua hala yang telah terjalin sekian lama antara Malaysia dan AS.

“Malaysia berhak untuk menuntut seorang duta yang berwibawa, berpengalaman, dan menghormati nilai serta sensitiviti tempatan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan menolak pelantikan Adams demi menjaga keharmonian nasional, maruah negara, dan prinsip kedaulatan dalam hubungan antarabangsa.

“Kami berharap kerajaan Malaysia akan terus berpegang kepada prinsip diplomasi yang berteraskan kesopanan, hormat-menghormati, serta kebijaksanaan dalam mempertahankan kedaulatan negara ini,” katanya.

BACA LAGI 



Catat Ulasan

0 Ulasan